
KUCHING – Sarawak menyambut baik komitmen kerajaan Persekutuan untuk mempercepat pembukaan semula laluan perdagangan komersial Tebedu–Entikong bagi merancakkan aktiviti ekonomi rentas sempadan di antara Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan Persekutuan 2027 merupakan perkembangan positif dalam usaha memperkukuh hubungan perdagangan kedua-dua negara.
Menurutnya, pembukaan semula laluan berkenaan penting bagi memperluas akses pasaran, menarik pelaburan serta mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada masyarakat di kawasan sempadan.
“Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri menerusi Belanjawan Persekutuan 2027 untuk mempercepat pembukaan semula perdagangan komersial melalui Tebedu–Entikong.
“Kementerian saya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Persekutuan dan Indonesia bagi memudah cara serta mempercepat pemulihan perdagangan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Rabu.
Awang Tengah juga merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berkata, perdagangan rentas sempadan merupakan antara pemacu pertumbuhan ekonomi yang berpotensi memberikan manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya di kawasan luar bandar dan sempadan.
“Kerajaan Sarawak turut mengambil langkah mempertingkat kemudahan infrastruktur bagi menyokong usaha pembukaan semula laluan perdagangan tersebut,” ujarnya.
Beliau berkata, jalan akses menuju ke sempadan telah dilebarkan oleh kerajaan Sarawak bagi meningkatkan kesalinghubungan dan kemudahan pergerakan.
Dalam pada itu, kerajaan Sarawak akan terus mengadakan perbincangan dengan kerajaan Persekutuan berhubung cadangan menaik taraf Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.
Menurutnya, penambahbaikan kemudahan sempadan serta jaringan pengangkutan penting bagi memastikan aktiviti perdagangan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.
Selain Tebedu–Entikong, Awang Tengah turut mengambil maklum potensi pembangunan kawasan sempadan Biawak dan Telok Melano–Temajuk dalam sektor perdagangan, logistik serta pelancongan.
”Pembangunan kawasan berkenaan memerlukan kemudahan sempadan yang sesuai, jaringan perhubungan lebih baik serta kerjasama erat antara agensi berkaitan,” jelas beliau lagi.
Sehubungan itu, kerajaan Sarawak telah menugaskan penyediaan Pelan Induk Pembangunan Kawasan Sempadan Sarawak yang dijangka siap pada suku keempat 2026.
Pelan berkenaan akan mengenal pasti projek keutamaan termasuk cadangan menaik taraf ICQS Biawak, dengan pelaksanaan dibuat secara berperingkat tertakluk kepada pembiayaan dan kelulusan berkaitan.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak


