Surat Ismail Lasim kepada Majlis Raja-Raja langgar bidang kuasa Menteri Besar

MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, disifatkan melangkaui bidang kuasanya apabila menulis surat kepada Majlis Raja-Raja berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, tanpa melalui saluran yang sepatutnya.

Pakar Undang-Undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, perkara berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar tertakluk kepada Perlembagaan negeri dan adat Perpatih, justeru tidak boleh ditangani mengikut budi bicara Menteri Besar semata-mata.

Beliau berkata, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) mempunyai peranan dalam perkara berkaitan adat berkenaan, sekali gus menjadikan tindakan menulis surat kepada Majlis Raja-Raja bagi mempertikaikan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai sesuatu yang melangkaui bidang kuasa Menteri Besar.

“Sebagai Menteri Besar, beliau memang ketua eksekutif dan boleh menjalankan pentadbiran negeri, tetapi kuasanya ada batas. Beliau tetap perlu berpegang kepada Perlembagaan dan menghormati bidang kuasa institusi lain.

“Isu berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar bukan dalam bidang kuasa beliau untuk bertindak sesuka hati. Saluran yang sepatutnya ialah melalui DKU,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Isnin.

Noor Aziah berkata, tindakan itu lebih membimbangkan apabila Ismail didakwa menulis surat berkenaan selepas menghadap Tuanku Muhriz, susulan kemelut berkaitan kedudukan institusi berkenaan.

Beliau berkata, Ismail sepatutnya mengambil langkah berdamai dengan memohon maaf kepada Tuanku Muhriz dan menarik balik surat berkenaan bagi membolehkan kemelut itu diselesaikan mengikut saluran yang betul.

“Bagi saya, beliau sepatutnya menghadap Tuanku, memohon maaf, menarik balik surat yang ditulis itu dan mengiktiraf kedudukan Tuanku seperti ketika beliau mengangkat sumpah dahulu.

“Selepas itu, beliau boleh mengemukakan senarai nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) baharu supaya urusan pentadbiran negeri dapat diteruskan,” katanya.

Tambahnya, kedudukan Menteri Besar sebagai ketua eksekutif tidak bermakna beliau boleh mengetepikan Perlembagaan negeri atau mencampuri urusan yang tertakluk kepada bidang kuasa institusi adat.

Mengulas tindakan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang tidak mewartakan proklamasi berkaitan penurunan takhta, Noor Aziah berkata, tindakan itu tidak semestinya menunjukkan pegawai berkenaan ingkar kepada Menteri Besar, sebaliknya boleh berpunca daripada keperluan memastikan sesuatu keputusan mematuhi Perlembagaan negeri.

“Apabila sesuatu tindakan bercanggah dengan Perlembagaan, peruntukan Perlembagaan perlu diutamakan. Ketua eksekutif juga terikat dengan batas kuasa yang ditetapkan dan tidak boleh bertindak sesuka hati,” katanya.

Beliau berkata, kemelut yang berpanjangan turut berisiko menjejaskan urusan pentadbiran negeri, termasuk pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN), selain menghakis keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Katanya, rakyat sepatutnya dapat melihat kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pentadbiran dan kebajikan mereka, bukannya terus terperangkap dalam pertikaian berkaitan kedudukan institusi.

“Keadaan ini amat mendukacitakan kerana ia boleh menyebabkan rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan negeri.

“Jika saya berada di tempat beliau, saya akan meletakkan jawatan. Menteri Besar baharu boleh dilantik mengikut proses yang sah dan kerajaan negeri dapat meneruskan tugasnya,” katanya.

Noor Aziah berkata, Ismail perlu membuat pilihan sama ada memohon maaf, menarik balik surat berkenaan dan menyelesaikan kemelut melalui saluran yang betul, atau mempertimbangkan peletakan jawatan demi memastikan pentadbiran negeri dapat diteruskan.

Pada 16 Oktober, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menzahirkan kemurkaan terhadap Ismail, dalam satu rakaman video yang tular di media sosial selepas solat Jumaat di Kuala Pilah.

Baginda dilaporkan mempersoalkan tindakan Ismail mengutus surat kepada Majlis Raja-Raja yang mempertikaikan kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Kemelut itu tercetus susulan proklamasi oleh Undang Yang Empat untuk menurunkan Tuanku Muhriz daripada takhta pada April lalu.

Isu berkenaan kemudian berlarutan apabila timbul pertikaian mengenai kesahihan proklamasi itu serta tindakan kerajaan negeri berkaitan pewartaannya.

Konflik berkenaan turut membawa kepada pembatalan pelantikan 10 Exco kerajaan negeri oleh Tuanku Muhriz, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan dalam pentadbiran Negeri Sembilan.

Related Posts

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

LONG LAMA – Pendidikan keselamatan diri sejak peringkat sekolah rendah perlu diperkukuh bagi membantu kanak-kanak mengenali situasi berisiko, memahami batas pergaulan serta mendapatkan bantuan apabila berhadapan ancaman. Pegawai Pendidikan Daerah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

SEREMBAN – Pentadbiran Undang Luak Rembau menyangkal dakwaan yang mempertikaikan kewibawaan Hassan Ab Hamid dengan menggambarkan penangguhan kemasukan ke Balai Undang Luak Rembau pada Isnin sebagai kegagalan daripada pihak Dato’…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kesihatan murid keutamaan, pelan tindakan jerebu ditambah baik – PM

Kesihatan murid keutamaan, pelan tindakan jerebu ditambah baik – PM

Nilai ringgit kekal berdaya tahan

Nilai ringgit kekal berdaya tahan

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

Mustapha tuntut siasatan telus, menyeluruh kematian dua beranak

  • By Fatin
  • October 19, 2026
Mustapha tuntut siasatan telus, menyeluruh kematian dua beranak

Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

Teresa Kok menang saman fitnah, Dr Akmal diperintah bayar RM300,000

Teresa Kok menang saman fitnah, Dr Akmal diperintah bayar RM300,000