
LONG LAMA – Pendidikan keselamatan diri sejak peringkat sekolah rendah perlu diperkukuh bagi membantu kanak-kanak mengenali situasi berisiko, memahami batas pergaulan serta mendapatkan bantuan apabila berhadapan ancaman.
Pegawai Pendidikan Daerah Baram, Matthew Laing Ngau berkata, pendedahan awal yang bersesuaian dengan usia penting bagi memastikan kanak-kanak memahami hak mereka untuk berasa selamat, dihormati dan dilindungi.
Menurutnya, kanak-kanak perlu dibimbing supaya mampu mengenali situasi tidak selamat serta berani bersuara apabila berhadapan perkara yang menimbulkan rasa takut, tidak selesa atau keliru.
“Anak-anak perlu tahu bahawa tubuh mereka adalah milik mereka sendiri. Jika ada sesiapa membuatkan mereka berasa tidak selesa, takut atau keliru, jangan simpan seorang diri.
“Sebaliknya, beritahu ibu, ayah, guru atau orang dewasa yang dipercayai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Intervensi Sosial: Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual (KAPS) Sekolah Rendah Peringkat Bahagian Miri di Daerah Telang Usan bagi 2026 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kee Tee, pada Ahad.
Matthew berkata, statistik jenayah seksual terhadap kanak-kanak menunjukkan kepentingan memperkukuh usaha pendidikan dan pencegahan bagi melindungi golongan berkenaan daripada menjadi mangsa.
Menurutnya, berdasarkan statistik Bahagian Siasatan Jenayah Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak, sebanyak 151 kes rogol dilaporkan di negeri ini sepanjang 2025.
Daripada jumlah itu, sebanyak 122 kes atau 80.7 peratus melibatkan mangsa berusia 16 tahun dan ke bawah.

Beliau berkata, Bahagian Miri pula merekodkan 23 kes rogol dalam tempoh sama, selain 13 kes yang dilaporkan mengikut Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Dalam pada itu, Matthew menegaskan bahawa Program KAPS bukan bertujuan menggalakkan aktiviti seksual, sebaliknya memberi pendidikan awal mengenai keselamatan diri, batas pergaulan serta risiko yang perlu diketahui kanak-kanak.
“Meminta bantuan bukan tanda kelemahan. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa anak-anak tahu menjaga diri dan berani melakukan perkara yang betul,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa perlindungan kanak-kanak bukan tanggungjawab pihak sekolah semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama ibu bapa, guru, komuniti, pemimpin masyarakat serta agensi kerajaan.
Menurutnya, komunikasi terbuka antara ibu bapa dan anak-anak perlu dipupuk supaya mereka tidak berasa takut atau malu untuk berkongsi kebimbangan serta mendapatkan bantuan apabila diperlukan.
“Komunikasi terbuka antara ibu bapa dengan anak-anak juga penting bagi membolehkan mereka berkongsi kebimbangan serta mendapatkan sokongan tanpa rasa takut atau malu,” katanya.
Sementara itu, program berkenaan turut menampilkan penceramah daripada PDRM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Mental Health Association of Sarawak (MHAS) serta Sarawak Women for Women Society.
Selain sesi perkongsian ilmu, pameran oleh Jabatan Penjara Malaysia, MCMC dan MHAS turut diadakan bagi memberikan pendedahan berkaitan keselamatan dan kesejahteraan diri.
Seramai 126 peserta menyertai program itu, melibatkan murid, ibu bapa, guru serta urus setia daripada Pejabat Residen Bahagian Miri dan Pejabat Daerah Telang Usan.





