DKU Negeri Sembilan fail permohonan baharu hina mahkamah terhadap Ismail Lasim, 16 individu

SEREMBAN – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan serta setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin, memfailkan permohonan baharu untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan 16 individu lain.

Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban pada 15 Oktober lalu, berhubung dakwaan pelanggaran perintah injunksi yang dikeluarkan mahkamah pada 5 Jun lalu berkaitan pentadbiran dan hal ehwal DKU.

Selain Ismail, permohonan itu turut menamakan 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) serta enam plaintif dalam pertikaian undang-undang berkenaan.

Enam plaintif itu ialah tiga Undang yang kedudukannya dipertikaikan, Datuk Mubarak Thahak, Datuk Maarof Mat Rashad dan Datuk Abd Rahim Yasin, Undang Johol, Datuk Muhammed Abdullah, Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri, serta Datuk Seri Badarudin Abdul Khalid.

Menurut pemohon, injunksi berkenaan menghalang enam plaintif itu daripada membuat atau melaksanakan keputusan berkaitan DKU, termasuk mengambil sebarang langkah yang boleh mengubah status quo badan berkenaan seperti sebelum 21 Mei lalu.

Bagaimanapun, mereka mendakwa enam plaintif terbabit meneruskan usaha melaksanakan pengisytiharan bertarikh 19 April lalu berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, meskipun injunksi berkenaan masih berkuat kuasa.

Pemohon turut merujuk siri kenyataan media dan sidang akhbar antara 5 September hingga 11 Oktober lalu, yang didakwa menyaksikan enam plaintif itu mempertahankan kesahan dan keberkesanan pengisytiharan berkenaan.

Mereka seterusnya mendakwa Ismail dan 10 bekas Exco secara sedar mengambil langkah melaksanakan pengisytiharan itu, sekali gus menjejaskan tujuan perintah mahkamah.

Antara tindakan yang dibangkitkan ialah keputusan kolektif Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 15 September lalu yang didakwa memutuskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir diturunkan daripada takhta, manakala Tunku Datuk Seri Nadzaruddin Tuanku Ja’afar diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12.

Pemohon mendakwa keputusan berkenaan merupakan campur tangan dalam pentadbiran dan hal ehwal DKU yang melanggar injunksi berkenaan.

Mereka turut memetik surat bertarikh 17 September lalu yang dihantar Ismail kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang didakwa mengulangi keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta memohon supaya perkara itu dibawa kepada pengetahuan Raja-Raja Melayu.

Permohonan itu juga merujuk keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 22 September lalu untuk menggantung Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut pemohon, tindakan berkenaan diambil walaupun Ismail dan bekas Exco terbabit sudah dimaklumkan mengenai injunksi itu menerusi surat peguam mereka pada 16 September lalu.

Mereka berhujah individu yang bukan pihak dalam prosiding asal juga boleh dipertanggungjawabkan atas kesalahan menghina mahkamah sekiranya secara sedar membantu pelanggaran injunksi atau bertindak menggagalkan tujuannya.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 29 Julai membenarkan penangguhan sementara prosiding komital substantif terdahulu yang membabitkan enam plaintif berkenaan.

Bagaimanapun, pemohon menegaskan penangguhan itu tidak menjejaskan injunksi bertarikh 5 Jun lalu, yang menurut mereka masih berkuat kuasa.

Mahkamah Rayuan dijadual menetapkan keputusan pada 4 November ini berhubung permohonan penangguhan berkenaan.

Related Posts

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

LONG LAMA – Pendidikan keselamatan diri sejak peringkat sekolah rendah perlu diperkukuh bagi membantu kanak-kanak mengenali situasi berisiko, memahami batas pergaulan serta mendapatkan bantuan apabila berhadapan ancaman. Pegawai Pendidikan Daerah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

SEREMBAN – Pentadbiran Undang Luak Rembau menyangkal dakwaan yang mempertikaikan kewibawaan Hassan Ab Hamid dengan menggambarkan penangguhan kemasukan ke Balai Undang Luak Rembau pada Isnin sebagai kegagalan daripada pihak Dato’…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kesihatan murid keutamaan, pelan tindakan jerebu ditambah baik – PM

Kesihatan murid keutamaan, pelan tindakan jerebu ditambah baik – PM

Nilai ringgit kekal berdaya tahan

Nilai ringgit kekal berdaya tahan

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

Mustapha tuntut siasatan telus, menyeluruh kematian dua beranak

  • By Fatin
  • October 19, 2026
Mustapha tuntut siasatan telus, menyeluruh kematian dua beranak

Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

Teresa Kok menang saman fitnah, Dr Akmal diperintah bayar RM300,000

Teresa Kok menang saman fitnah, Dr Akmal diperintah bayar RM300,000