KUALA LUMPUR – Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan akan ditambah baik, khususnya membabitkan prosedur penutupan sekolah dan persediaan pembelajaran sekiranya institusi pendidikan terpaksa ditutup selama beberapa hari berikutan keadaan jerebu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikannya petang tadi, dengan tumpuan kepada situasi jerebu semasa serta kesannya terhadap kesihatan rakyat, khususnya murid sekolah.
“Saya tegaskan bahawa kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan memperhalusi cadangan ini bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, kerajaan turut memastikan keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan dipenuhi sebagai antara usaha mengurangkan jerebu yang melanda negara.
“Saya turut menegaskan bahawa keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi untuk mengurangkan jerebu. Operasi ini sedang dijalankan hampir setiap hari, bergantung pada keadaan awan yang sesuai,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata mesyuarat itu turut membincangkan persediaan negara menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan meningkatkan risiko banjir, selain ancaman fenomena Super El Nino yang diramal membawa cuaca panas dan kering melampau tahun depan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kesiapsiagaan agensi barisan hadapan perlu terus dipertingkat bagi memastikan pengurusan bencana dapat dilaksanakan secara pantas dan berkesan.
Katanya, NADMA perlu diperkasa sebagai nadi penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi, khususnya menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat.
Langkah itu penting bagi memastikan tindakan merangkumi pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap serta tersusun.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sektor swasta, sukarelawan serta masyarakat dalam memperkukuh kesiapsiagaan komuniti menghadapi sebarang kemungkinan bencana.
“Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama,” katanya.





