Krisis Negeri Sembilan: Ismail Lasim perlu berundur, beri laluan penyelesaian krisis – Putra

KUALA LUMPUR – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) menggesa Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan bagi memulihkan kestabilan politik dan memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan negeri.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, langkah itu perlu dipertimbangkan demi kepentingan rakyat serta memelihara hubungan antara Institusi Raja dengan kepemimpinan kerajaan negeri.

Beliau berkata, pendirian itu berasaskan titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, yang dilaporkan berkata “I don’t want to see you” atau “Beta tidak mahu berjumpa kamu” ketika bertemu orang ramai di pintu masjid pada Jumaat lalu.

“Putra melihat titah tersebut sebagai penzahiran serius mengenai hubungan kepercayaan antara Baginda dengan Menteri Besar yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, pentadbiran negeri dalam sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen memerlukan hubungan kepercayaan serta kerjasama erat antara Institusi Raja dengan ketua kerajaan, selain setiap pihak menghormati peranan, tanggungjawab dan batas kuasa masing-masing.

Katanya, kemelut berkenaan berisiko menjejaskan kelancaran pentadbiran, khususnya bagi urusan yang memerlukan pertimbangan Menteri Besar, Mesyuarat Exco dan perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Mengulas isu proklamasi penurunan takhta, beliau mempersoalkan pendirian Menteri Besar berhubung perkara itu, termasuk dakwaan Ismail sebelum ini dipaksa menandatangani proklamasi berkenaan sehingga membuat laporan polis.

Menurutnya, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri kemudian dilaporkan sebulat suara mengesahkan proklamasi berkenaan selepas Menteri Besar mengangkat sumpah dan berikrar taat setia.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai kedudukan Undang Yang Empat yang terbabit dalam proklamasi itu, termasuk dakwaan dua daripadanya dilucutkan jawatan dan seorang lagi belum dilantik secara rasmi.

Sehubungan itu, Ibrahim menegaskan pelaksanaan kuasa adat perlu mematuhi Perlembagaan serta tatacara yang telus, selain perkara berkenaan dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri, Peguam Negara dan pihak berkuasa berkaitan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata, pengumuman berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz menerusi sidang media terbuka turut menimbulkan persoalan mengenai penghormatan terhadap Institusi Raja, terutama apabila membabitkan pemimpin yang sudah berikrar taat setia kepada Baginda.

Bagi membuka jalan penyelesaian, Putra mencadangkan supaya Tuanku Muhriz mempertimbangkan pelantikan Menteri Besar baharu daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang layak, tertakluk kepada ketetapan Perlembagaan.

Ibrahim berkata, semua ADUN tanpa mengira parti juga wajar memberikan sokongan bagi membentuk kerajaan perpaduan negeri yang mengutamakan kepentingan rakyat.

“Sekiranya langkah tersebut gagal direalisasikan dan krisis terus berlarutan, Putra mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan membawa perkara ini ke Dewan Rakyat serta mempertimbangkan langkah ke arah pengisytiharan darurat,” katanya.

Beliau berkata, cadangan itu turut merangkumi kemungkinan pelantikan pegawai kanan kerajaan sebagai Pengarah Kerajaan Negeri Sembilan, dengan mengambil iktibar daripada pengalaman darurat di Kelantan pada 1977.

Selain itu, Putra mencadangkan supaya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dipertimbangkan untuk diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bagi mengembalikan mandat kepada rakyat dan menjimatkan kos pengendalian pilihan raya.

Ibrahim berkata, cadangan berkenaan wajar dipertimbangkan bagi menyelesaikan krisis yang membabitkan hubungan antara Yang di-Pertuan Besar dengan kepimpinan kerajaan negeri, demi memelihara kemuliaan Institusi Raja, kestabilan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat.

Related Posts

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

LONG LAMA – Pendidikan keselamatan diri sejak peringkat sekolah rendah perlu diperkukuh bagi membantu kanak-kanak mengenali situasi berisiko, memahami batas pergaulan serta mendapatkan bantuan apabila berhadapan ancaman. Pegawai Pendidikan Daerah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

SEREMBAN – Pentadbiran Undang Luak Rembau menyangkal dakwaan yang mempertikaikan kewibawaan Hassan Ab Hamid dengan menggambarkan penangguhan kemasukan ke Balai Undang Luak Rembau pada Isnin sebagai kegagalan daripada pihak Dato’…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kesihatan murid keutamaan, pelan tindakan jerebu ditambah baik – PM

Kesihatan murid keutamaan, pelan tindakan jerebu ditambah baik – PM

Nilai ringgit kekal berdaya tahan

Nilai ringgit kekal berdaya tahan

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

Mustapha tuntut siasatan telus, menyeluruh kematian dua beranak

  • By Fatin
  • October 19, 2026
Mustapha tuntut siasatan telus, menyeluruh kematian dua beranak

Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

Teresa Kok menang saman fitnah, Dr Akmal diperintah bayar RM300,000

Teresa Kok menang saman fitnah, Dr Akmal diperintah bayar RM300,000