
PUTRAJAYA – Dakwaan semua hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sudah dilunaskan adalah tidak benar, sebaliknya kerajaan masih perlu menanggung obligasi hutang lama berserta bayaran faedah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbahasan mengenai hutang negara perlu dibuat berdasarkan fakta dan angka tepat, bukannya kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat mengenai kedudukan sebenar kewangan kerajaan.
“Betul, jumlah hutang keseluruhannya bertambah kerana hutang lama harus dibayar.
“Ada yang menyatakan hutang 1MDB sudah bayar semua. Saya tak tahu daripada mana kitab, di mana dia baca. Tak betul,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan perlu mengurus hutang secara bertanggungjawab dengan memastikan pinjaman baharu dibuat berdasarkan keperluan sebenar untuk mengurus ekonomi negara.
Beliau yang juga Menteri Kewangan menegaskan, kerajaan tidak sepatutnya membebankan generasi akan datang untuk membayar perbelanjaan berlebihan yang dilakukan pada masa sekarang.
“Kerajaan bertanggungjawab hanya meminjam apa yang perlu untuk mengurus ekonomi. Tetapi kita mesti sentiasa merancang ke hadapan. Kita tidak sepatutnya membebankan generasi akan datang untuk membayar keterlaluan yang dilakukan oleh generasi sekarang.
“Pengurusan hutang perlu dilihat bersama usaha memperkukuh disiplin fiskal, meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan memastikan wang negara digunakan untuk kepentingan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengaitkan pengurusan fiskal dengan keperluan memperkukuh tata kelola serta kesediaan kerajaan menyerahkan sebahagian kuasa kepada institusi lain bagi memastikan proses semak dan imbang berjalan dengan berkesan.
“Pelaksanaan Akta Tanggungjawab Fiskal dan Akta Perkhidmatan Parlimen antara langkah pembaharuan institusi yang dilaksanakan kerajaan bagi memperkukuh akauntabiliti serta mematangkan demokrasi,” katanya.
Tambah beliau, usaha mengurus kewangan negara bukan sekadar soal angka, sebaliknya memerlukan ketegasan politik untuk mengekang ketirisan, pembaziran dan penyalahgunaan kuasa.
“Wang yang berjaya diselamatkan daripada ketirisan sepatutnya dikembalikan kepada negara dan rakyat, bukannya dimanfaatkan oleh individu berkuasa,” katanya.





