SHAH ALAM – Pentadbiran Istana Selangor memandang serius kes penipuan membabitkan individu yang menyamar sebagai pengawal peribadi sulit kepada Raja Muda Selangor bagi memperdaya orang awam.
Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, pihaknya mengambil maklum dan menerima beberapa laporan polis berhubung kegiatan individu terbabit.
Menurut kenyataan itu, individu berkenaan dipercayai menggunakan penyamaran tersebut untuk meyakinkan orang awam supaya mempercayai urusan penjualan tanah dan kereta mewah bagi meraih keuntungan peribadi.
“Sehubungan itu, Pentadbiran Istana Selangor menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan menyeluruh terhadap kes berkenaan secara adil dan telus.
“Pihak pentadbiran istana juga tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam kes ini.
“Pihak Istana Selangor memohon kerjasama orang awam supaya membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana berkaitan apa-apa dakwaan yang mengaitkan kedudukan individu terlibat dengan nama istana dalam membuat sebarang urusan,” menurut kenyataan berkenaan.
Langkah itu disifatkan penting bagi mengelakkan orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan yang menggunakan nama dan kedudukan institusi diraja untuk mendapatkan keuntungan peribadi.





