SEBERANG PERAI – Sebanyak 174 keluarga yang terlibat dalam projek pembangunan semula Kampung Manis di Taman Chai Leng, di sini bakal menerima rumah gantian percuma, manakala 53 keluarga lagi ditawarkan skim sewa beli pada harga RM150,000 seunit.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri S. Sundarajoo berkata, rumah gantian yang ditawarkan berkeluasan 850 kaki persegi, lebih besar berbanding kebiasaan rumah gantian kos rendah yang berkeluasan 650 kaki persegi.
Katanya, rumah jenis C itu ditawarkan pada harga RM250,000 melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang, sedangkan nilai pasaran dianggarkan antara RM350,000 hingga RM400,000 seunit.
“RAC menawarkan sebuah rumah kepada satu keluarga secara percuma manakala 53 lagi keluarga yang mempunyai kaitan dengan Kampung Manis tetapi bukan penduduk tetap turut diberi peluang mendapatkan rumah gantian sama melalui skim sewa beli pada harga RM150,000 seunit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian dan Penyerahan Surat Niat Kepada Penerima Rumah Mutiaraku (RMKu) Bagi Tujuan Pengosongan Tapak Serta Penempatan Semula Penghuni Kampung Manis, semalam. Hadir sama, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Tambahnya, kerja-kerja pembangunan dijangka bermula hujung tahun ini atau awal tahun depan, tertakluk kepada kelulusan pelan pembangunan.
Katanya, pemaju diberikan tempoh 24 bulan dari tarikh kelulusan pelan untuk menyiapkan pembinaan rumah berkenaan.
“Bagi memastikan kerja pembinaan berjalan lancar dan mengelakkan risiko kemalangan, penduduk diminta berpindah sementara sepanjang tempoh pembangunan, dengan pemaju menyediakan bantuan sewa bulanan sebanyak RM700 kepada mereka yang perlu menyewa rumah lain,” katanya..





