
KOTA KINABALU – Pelari Itali, Alex Oberbacher dan wakil Sepanyol, June Villaroel mencipta kejayaan tersendiri apabila muncul juara baharu kategori Elit Lelaki dan Elit Wanita pada Mount Kinabalu International Climbathon edisi ke-33, hari ini.
Oberbacher menjuarai kategori Elit Lelaki dengan catatan masa tiga jam 20 minit 54 saat, manakala Villaroel mengungguli kategori Elit Wanita selepas menamatkan perlumbaan dalam masa empat jam sembilan minit 14 saat.
Oberbacher menyifatkan perlumbaan ini sebagai pengalaman bermakna walaupun terpaksa mengharungi pendakian yang sukar dan panjang.
“Pemandangan indah di kawasan berketinggian tinggi khususnya landskap berbatu di puncak gunung menjadikan cabaran yang dihadapi berbaloi.
“Tempoh enam hari berada di Sabah memberikan saya peluang meneroka kawasan sekitar selain menyertai pertandingan berkenaan,” katanya kepada media selepas menamatkan Climbathon Kinabalu ke-33.

Sementara itu, Villaroel mengakui tidak menjangkakan kemenangan tersebut, malah menyifatkannya sebagai kejayaan yang menggembirakan dan sukar dipercayai.
“Laluan perlumbaan itu antara yang paling ekstrem pernah saya hadapi terutama ketika melalui kawasan dataran tinggi dan puncak Gunung Kinabalu.
“Bagaimanapun, pengalaman menyertai perlumbaan gunung di Rusia serta aktiviti pendakian menggunakan ski ketika musim sejuk membantu saya menghadapi cabaran berkenaan.
“Penyertaan dalam pertandingan antarabangsa turut memberikan motivasi tambahan kepada saya, selain membawa tanggungjawab untuk mengharumkan nama negara,” ujarnya.

Kemenangan itu menyaksikan kedua-dua pelari antarabangsa berkenaan mengatasi cabaran laluan ekstrem yang menguji ketahanan fizikal, kekuatan dan keupayaan mereka di Gunung Kinabalu.
Perlumbaan sejauh 24.5 kilometer itu bermula di kawasan kaki Gunung Kinabalu sebelum peserta mendaki ke puncak pada ketinggian 4,095.2 meter dan kembali menuruni laluan gunung yang mencabar.
Persaingan kategori elit turut menyaksikan penyertaan atlet yang bertanding dalam siri Merrell Skyrunner® World Series, sekali gus meningkatkan tahap persaingan dalam kejohanan itu.
Terdahulu, perlumbaan dilepaskan pada jam 6.30 pagi di Dewan Kinabalu oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin.
Dianjurkan di Taman Kinabalu, tapak Warisan Dunia UNESCO sejak 2000, Mount Kinabalu International Climbathon mula diperkenalkan pada 1987 dan kekal sebagai acara sukan penting dalam kalendar pelancongan serta sukan Sabah sehingga kini.





