
KOTA BELUD – Kerajaan Sabah bersedia meneruskan perundingan bagi menyelesaikan tuntutan berkaitan hak kewangan negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bagi tempoh 1974 hingga 2021 yang dirujuk sebagai ‘The Lost Years’.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu termasuk mempertimbangkan pilihan kaedah pembayaran lain sekiranya jumlah yang terbabit terlalu besar.
“Tuntutan itu memerlukan penelitian lebih mendalam kerana melibatkan pengiraan retroaktif serta pengumpulan rekod dan dokumentasi.
“Oleh itu, bagi The Lost Years’ yang berada di mahkamah, kita sedia berunding lebih panjang dan mempertimbangkan opsyen pembayaran lain sekiranya ia melibatkan jumlah angka yang terlalu besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Dewan Tun Mustapha, Kudat, pada Ahad.
Bagaimanapun, mengenai tuntutan dari tahun 2022 hingga kini, beliau berharap agar pembayaran tuntutan itu disegerakan berikutan data kewangannya jelas dan tidak dipertikaikan oleh kedua-dua pihak.
Mengulas lanjut pendengaran rayuan MA63 pada 29 Oktober ini, beliau berkata, kehadiran pemimpin daripada pelbagai parti mencerminkan sokongan terhadap tuntutan Sabah supaya pelaksanaannya disegerakan.
“Kita memahami mahkamah mempunyai prosesnya sendiri.
“Bagi Sabah, kita menghormati keputusan mahkamah, namun pendirian tegas kita adalah mahkamah bukan opsyen terakhir sekiranya keputusannya tidak menyebelahi kita.
“Terdapat opsyen lain dan perundingan rasmi antara kerajaan sememangnya sedang berjalan,” tegasnya.





