AKTA Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) berpotensi memperkukuh kebebasan institusi Parlimen daripada pengaruh eksekutif, khususnya dalam aspek pengurusan kewangan, pentadbiran dan sumber manusia.
Pengamal undang-undang, Zaim Jalal berkata, dari sudut teori, akta berkenaan mampu memperkukuh prinsip pengasingan kuasa serta mewujudkan sistem semak dan imbang yang lebih berkesan antara badan perundangan dengan eksekutif.
Bagaimanapun, beliau berkata, keberkesanan pelaksanaan akta itu perlu dinilai bagi memastikan autonomi yang diberikan benar-benar membolehkan Parlimen menjalankan fungsinya secara bebas dan berkesan.
“Kalau kita bercakap dari segi teori, akta ini sangat baik kerana ia memisahkan pentadbiran Parlimen daripada kuasa eksekutif. Bagaimanapun, kita belum tahu bagaimana pelaksanaannya nanti,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Ahad.
Zaim berkata, penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang turut melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang penting bagi memastikan urusan pentadbiran institusi itu tidak didominasi oleh satu pihak.
Katanya, penglibatan wakil daripada kedua-dua blok berkenaan membolehkan isu berkaitan pentadbiran Parlimen dibangkitkan secara lebih terbuka, sekali gus mengukuhkan mekanisme semak dan imbang.
“Apabila ada wakil daripada blok pembangkang, sekurang-kurangnya mereka boleh membangkitkan isu sekiranya terdapat perkara yang tidak betul atau keputusan yang berat sebelah untuk pengetahuan rakyat.
“Di situ wujudnya semak dan imbang kerana kerajaan tidak boleh menguruskan Parlimen sesuka hati apabila terdapat wakil pembangkang yang turut memainkan peranan,” katanya.
Mengenai aspek kewangan, Zaim berkata, kerajaan bertanggungjawab menyediakan peruntukan mencukupi bagi memastikan Perkhidmatan Parlimen dapat melaksanakan fungsinya tanpa kekangan dana.
Katanya, peruntukan mencukupi penting bagi membolehkan Parlimen menjalankan tanggungjawab, termasuk meneliti dasar kerajaan, mengkaji pelaksanaan projek pembangunan dan memastikan perbelanjaan awam dilaksanakan secara berkesan.
“Kerajaan perlu memastikan dana yang diberikan mencukupi kerana kita tidak mahu pentadbiran Parlimen gagal melaksanakan tanggungjawab hanya disebabkan kekurangan peruntukan.
“Perkara ini penting supaya Parlimen dapat berfungsi dengan baik tanpa terlalu bergantung kepada pihak eksekutif dalam urusan kewangannya,” katanya.
Dalam aspek sumber manusia, beliau berkata, akta berkenaan membolehkan pengurusan Perkhidmatan Parlimen dilaksanakan secara tersendiri, termasuk dalam urusan pelantikan dan pengurusan kakitangan menerusi MPP.
Tambahnya, autonomi itu berpotensi mengurangkan kebimbangan pegawai terhadap kemungkinan berdepan pertukaran atau tindakan pentadbiran yang tidak berasaskan merit ketika menjalankan tugas secara profesional.
Beliau berkata, sebelum ini, pegawai yang bertugas di Parlimen tertakluk kepada struktur perkhidmatan awam, sekali gus boleh menimbulkan kebimbangan sekiranya tindakan mereka tidak disenangi pihak tertentu yang mempunyai pengaruh.
“Kadangkala ada pegawai yang menjalankan tugas mengikut peraturan, tetapi tindakan itu mungkin tidak disenangi pihak tertentu yang mempunyai kuasa.
“Jadi, apabila pentadbiran Parlimen mempunyai autonomi sendiri, pegawai boleh menjalankan tanggungjawab berdasarkan peraturan dan fakta tanpa terlalu bimbang terhadap kemungkinan dikenakan tindakan yang tidak berkaitan dengan prestasi kerja mereka,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaim berkata, autonomi Parlimen juga mampu memperkukuh prinsip pengasingan kuasa dengan memastikan institusi itu mempunyai keupayaan sendiri untuk mendapatkan maklumat yang bebas bagi menilai tindakan kerajaan.
Katanya, Parlimen memerlukan penyelidikan, laporan dan data yang tepat bagi membolehkan Ahli Parlimen membahaskan dasar serta projek kerajaan berdasarkan fakta dan bukti.
Beliau berkata, menerusi autonomi yang diberikan, MPP berpotensi mendapatkan khidmat pakar dalam bidang ekonomi, perundangan dan sains data bagi menyokong penelitian terhadap dasar kerajaan, termasuk projek pembangunan berskala besar.
“Apabila Parlimen mempunyai akses kepada maklumat yang bebas, perbahasan dapat dibuat berdasarkan fakta, angka dan bukti, bukannya dipengaruhi kepentingan politik.
“Pegawai juga perlu dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut, terutama apabila perlu mengemukakan maklumat yang tepat walaupun perkara itu tidak disenangi pihak tertentu,” katanya.
Beliau berkata, Parlimen juga berpotensi menubuhkan unit khusus bagi menjalankan penyiasatan terperinci terhadap isu tertentu tanpa terlalu bergantung kepada kelulusan kementerian atau laporan yang disediakan pihak eksekutif.
Jelasnya, keupayaan mendapatkan maklumat secara bebas penting bagi memastikan penelitian terhadap tindakan kerajaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, sekali gus membantu mengelakkan pembaziran wang awam.

Bagaimanapun, Zaim menegaskan keberkesanan Akta 869 bergantung pada pelaksanaan yang konsisten serta tadbir urus yang memastikan autonomi berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya.
Katanya, undang-undang yang baik tidak akan mencapai matlamat sekiranya pelaksanaannya tidak menepati tujuan asal penggubalannya.
“Kita berharap akta ini bukan sekadar undang-undang di atas kertas, sebaliknya benar-benar dilaksanakan bagi memastikan Parlimen dapat menjalankan tanggungjawabnya secara bebas, telus dan berkesan,” katanya.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan Dewan Rakyat pada 5 Mac 2025 dan Dewan Negara pada 20 Mac tahun sama sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 9 Julai 2025 serta diwartakan pada 18 Julai 2025.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penguatkuasaan akta itu sebagai pencapaian penting dalam agenda reformasi institusi Kerajaan MADANI yang mengembalikan autonomi Parlimen selepas lebih tiga dekad.
Beliau berkata, akta itu membolehkan Parlimen menguruskan pentadbiran, sumber manusia dan hal ehwalnya menerusi perkhidmatan khusus secara lebih bebas dan berkesan, sekali gus memperkukuh prinsip pengasingan kuasa serta sistem semak dan imbang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pula menyifatkan pelaksanaan akta berkenaan sebagai langkah penting dalam menunaikan komitmen reformasi institusi kerajaan, termasuk mengehadkan kuasa yang selama ini berada di bawah kerajaan dan Ketua Majlis.
Beliau berkata, pembaharuan itu penting bagi mematangkan sistem demokrasi berparlimen negara, selain berharap kebebasan serta bidang kuasa baharu yang diberikan dapat meningkatkan keupayaan dan profesionalisme warga Parlimen.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) dan pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober 2026.





