KITA tidak seharusnya mengecam Ummi Umairah. Sepatutnya kita gembira, masih ada mahasiswa yang berani untuk bersuara, untuk berfikir dan bertindak atas apa yang dipercayainya.
Jika suara mahasiswa dan anak muda telah mati, maka tunggulah akan kemunduran dan kedangkalan berfikir.
Rakyat di masa hadapan akan menjadi lembu yang dicucuk hidung. Hanya bertindak membuta tuli menurut arahan semata-mata. Itukah yang kita mahukan?
Sepanjang zaman, dunia berubah menjadi lebih baik kerana ada pemuda-pemudi yang berani untuk bersuara, berani untuk mempersoal, berani untuk bertindak.
Tanpa mereka, tidak akan ada perubahan, sistem dunia akan kekal pada takuk lama yakni mundur, jumud dan membangun.
Jangan sebab kedangkalan kita, menolak untuk ditegur. Kita mematikan suara mahasiswa, suara anak muda. Jangan begitu.
Sepanjang peradaban, sejarah membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencipta perubahan besar.
Di Malaysia, Anwar Ibrahim terlibat dalam gerakan mahasiswa yang mengangkat isu kemiskinan dan keadilan sosial.
Di Indonesia, Sukarno membina gerakan nasionalisme Indonesia ketika muda. Mahasiswa Indonesia pula memainkan peranan penting dalam gerakan Reformasi 1998 yang membawa kepada berakhirnya pemerintahan Suharto.
Di peringkat dunia, Malala Yousafzai memperjuangkan hak pendidikan sejak remaja, manakala Martin Luther King Jr. memimpin perjuangan hak sivil ketika masih muda.
Panjang berjela jika ingin saya rungkaikan satu persatu, semua ini membuktikan bahawa perubahan tidak menunggu seseorang menjadi tua, kaya atau berkuasa.
Perubahan bermula dengan keberanian berfikir, kekuatan ilmu dan kesanggupan bertindak.
Mahasiswa dan anak muda bukan sekadar pencari ijazah, atau peluang pekerjaan, mereka ialah ejen perubahan, pembentuk masa depan negara ini.





