
PUTRAJAYA – Kerajaan menyokong usaha memperkukuh tradisi keilmuan, penyelidikan dan wacana pemikiran Islam yang mampu menyumbang kepada pembangunan tadbir urus negara serta kesejahteraan ummah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat delegasi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) yang diketuai Pengerusi Lembaga Pengarahnya merangkap Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Menurut Anwar, pertemuan itu turut membincangkan Pelan Tindakan Institut Pemikiran al-Qaradawi (IPQ) bagi tempoh 2027 hingga 2030.
“Pelan berkenaan memberi tumpuan kepada aspek penyelidikan, penerbitan, pembangunan bakat serta pengukuhan jaringan keilmuan bagi memperluas perkembangan pemikiran Islam.
“Selain itu, cadangan menganjurkan Seminar Antarabangsa Pemikiran al-Qaradawi pada tahun hadapan turut disentuh dalam pertemuan berkenaan.
“Seminar itu dicadangkan bagi memperluas wacana mengenai pemikiran Islam serta membincangkan cabaran tadbir urus negara masa kini,” kongsinya di media sosial.
Anwar berkata, usaha seumpama itu penting dalam memperkasa tradisi ilmu dan penyelidikan, selain memastikan wacana pemikiran Islam terus menyumbang kepada pembangunan negara serta kesejahteraan masyarakat.
Kerajaan, katanya, akan terus menyokong inisiatif yang mengangkat tradisi keilmuan dan memperkukuh peranan pemikiran Islam dalam mendepani cabaran semasa.





