Sarawak mahu lahir lebih ramai pakar tempatan dalam pemuliharaan warisan

KUCHING – Sarawak perlu memperkukuh kepakaran tempatan dalam bidang pemuliharaan warisan bagi memastikan bangunan bersejarah, identiti budaya dan khazanah masyarakat terus terpelihara untuk generasi akan datang.

Penasihat Old Kuching Smart Heritage (OKSHE), Datuk Dr. Sabariah Putit berkata, usaha pemuliharaan warisan tidak seharusnya tertumpu kepada pemeliharaan bangunan atau monumen semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan pengurusan yang menyeluruh dan mampan.

Menurutnya, pendekatan itu perlu merangkumi perancangan pemuliharaan, pendokumentasian, pemetaan budaya, penyelarasan institusi, pembangunan kepakaran profesional serta penglibatan aktif masyarakat setempat.

Beliau berkata, antara cabaran utama dalam pemuliharaan warisan bukan sekadar ketersediaan sumber, tetapi kekurangan kepakaran khusus dan keupayaan mengekalkan pengetahuan berkenaan secara berterusan.

Justeru, katanya, Sarawak perlu melahirkan generasi profesional tempatan yang mampu memahami, mendokumentasi, menilai, memulihara dan mengurus persekitaran bersejarah berdasarkan prinsip antarabangsa serta amalan tempatan yang bersesuaian.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada program ICOMOS-CIF International Masterclass: Training the Trainers bertemakan Conserving Old Kuching: Preserving Culture, Conserving Heritage & Encouraging Arts di SMA Creative Heritage Innovation Centre (CHIC), pada Sabtu.

Program dua hari bermula 17 Oktober itu menghimpunkan pakar antarabangsa, ahli akademik dan pengamal profesional bagi memperkukuh pengetahuan serta kemahiran dalam pengurusan dan pemuliharaan warisan bandar Kuching.

Sabariah berkata, kejayaan program berkenaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peserta yang menerima latihan semata-mata, sebaliknya melalui pemindahan ilmu, peningkatan keupayaan profesional dan penambahbaikan amalan pemuliharaan.

Menurutnya, OKSHE berhasrat membangunkan rangkaian tenaga pengajar, pengamal profesional dan institusi tempatan yang mampu menerajui usaha pemuliharaan warisan secara berterusan di seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan bandar perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab melindungi keaslian serta kepentingan budaya kawasan bersejarah.

Katanya, Kuching tidak seharusnya dilihat sebagai bandar bersejarah yang terhenti dalam arus masa, sebaliknya sebagai bandar warisan hidup yang membolehkan pemuliharaan dan pembangunan bergerak seiring.

Beliau turut menekankan kepentingan mengekalkan warisan tidak ketara seperti songket, keringkam, kraftangan tradisional, seni persembahan, adat resam dan sejarah lisan yang membentuk identiti masyarakat Sarawak.

Sementara itu, program anjuran ICOMOS-CIF dengan kerjasama ICOMOS Malaysia, OKSHE dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) itu turut merangkumi sesi perkongsian kepakaran, kajian kes serta latihan lapangan.

Antara lokasi kajian lapangan yang dijadualkan pada Ahad ialah Masjid India, Rumah Batu dan Carpenter Street bagi memberi pendedahan kepada peserta mengenai bangunan bersejarah, landskap bandar serta hubungan warisan dengan masyarakat setempat.

Sabariah berharap kerjasama antara kerajaan, institusi akademik, organisasi profesional, sektor swasta dan masyarakat dapat membentuk ekosistem pengurusan warisan yang lebih berkesan serta mampan.

Katanya, ilmu dan kepakaran yang diperoleh menerusi program berkenaan perlu diterjemahkan kepada tindakan pemuliharaan yang memberi manfaat jangka panjang kepada Sarawak.

Related Posts

Ilmu, adab dan akhlak perlu seiring untuk berjaya – Ahmad Johnie

MATU – Kecemerlangan akademik perlu seiring dengan pembentukan adab, akhlak dan disiplin bagi melahirkan generasi berilmu serta berkeperibadian tinggi. Ahli Parlimen Igan, Datuk Ahmad Johnie Zawawi berkata, kejayaan sebenar bukan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Dua remaja mengaku salah rogol OKU lembam

PEKAN – Dua remaja didakwa di Mahkamah Majistret Pekan atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) lembam di sebuah pondok pada 6 Oktober lalu. Menurut laporan Sinar…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Jangan matikan suara mahasiswa!

Jangan matikan suara mahasiswa!

Anwar sokong pengukuhan pemikiran Islam, tadbir urus negara

Anwar sokong pengukuhan pemikiran Islam, tadbir urus negara

Sarawak mahu lahir lebih ramai pakar tempatan dalam pemuliharaan warisan

Sarawak mahu lahir lebih ramai pakar tempatan dalam pemuliharaan warisan

Ilmu, adab dan akhlak perlu seiring untuk berjaya – Ahmad Johnie

Ilmu, adab dan akhlak perlu seiring untuk berjaya – Ahmad Johnie

Dua remaja mengaku salah rogol OKU lembam

Dua remaja mengaku salah rogol OKU lembam

16 rumah musnah, 300 selamat dari kebakaran

  • By Fatin
  • October 17, 2026
16 rumah musnah, 300 selamat dari kebakaran