Jangan lindungi perbuatan khianat Ismail penyebab kemurkaan Tuanku Muhriz

POLEMIK mengenai cara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menegur Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim tidak seharusnya dijadikan politik pertikaian atau ‘alih perhatian’ daripada persoalan lebih besar, iaitu percanggahan pendirian kerajaan negeri mengiktiraf penurunan tahta baginda.

Barangkali, pihak-pihak yang cuba mempertahankan Ismail lupa diri atau sekadar membisu bagaimana perbuatan Ismail yang sering flip-flop dalam mengangkat serta mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Itulah persoalan yang tidak sepatutnya tenggelam hanya kerana teguran terbuka Tuanku Muhriz terhadap Ismail selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Beting, Kuala Pilah mencetuskan polemik mengenai adab dan protokol.

Lebih mudah nampaknya membahaskan cara seorang Raja meluahkan kemurkaan daripada melihat kemuncak kepada pertikaian yang berlarutan sejak April lalu, apabila kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar mula dicabar menerusi Proklamasi 19 April.

Hakikatnya, kemurkaan Tuanku Muhriz bukan berlaku tanpa konteks. Dalam rakaman video yang tular, baginda sendiri menjelaskan bahawa tindakan Ismail mengutus surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung keabsahan keputusan Exco menjadi punca baginda enggan menerima Menteri Besar itu menghadap.

“Ismail Lasim telah tulis surat kepada Penyimpan Mohor Besar (Raja-Raja) baru-baru ini, mengatakan keputusan yang dia buat dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) itu adalah sah dan saya bukan lagi yang Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Lepas tu datang hari ini nak jumpa saya buat apa? Selagi dia tak tarik balik apa yang dia kata itu, jangan datang jumpa saya.

“Go away, I don’t want to see you. Okay? Awak faham? Saya Yang di-pertuan Besar dan awak kata saya bukan,” titah Tuanku Muhriz.

Jelas daripada titah itu, perkara yang membangkitkan kemurkaan Tuanku Muhriz bukan sekadar perbezaan pendapat dengan Ismail, tetapi tindakan yang menurut baginda mempertikaikan kedudukannya sebagai Yang di-Pertuan Besar.

Justeru, menjadikan insiden itu semata-mata sebagai isu adab di masjid tanpa meneliti keseluruhan krisis ibarat melihat penghujung cerita, tetapi sengaja mengetepikan peristiwa yang membawa kepada kemuncaknya.

Lebih mengundang persoalan, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos lalu, sebelum pendiriannya kemudian dipersoalkan apabila kerajaan negeri mengiktiraf keabsahan proklamasi yang mempertikaikan kedudukan baginda.

Pada 6 September, Ismail menzahirkan sokongan dan taat setia kepada Tuanku Muhriz. Namun, pada 17 September, beliau mengesahkan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang menyokong keabsahan proklamasi berkenaan.

Percanggahan inilah yang sepatutnya mendapat perhatian. Bagaimana sokongan dan taat setia yang dizahirkan kepada Tuanku Muhriz boleh berjalan seiring dengan keputusan pentadbiran yang mengiktiraf proklamasi yang mempertikaikan kedudukan baginda?

Persoalan itu semakin ketara apabila Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 anggota Exco negeri, sebelum Ismail mempertikaikan tindakan berkenaan atas alasan beliau tidak dirujuk atau menasihati pembatalan itu, di samping menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah menjalankan tugas.

Situasi ini membuktikan isu berkenaan tidak boleh disederhanakan sebagai pertelingkahan peribadi atau perdebatan tentang siapa lebih beradab, susulan menyentuh persoalan kedudukan institusi diraja, kesahan keputusan kerajaan negeri dan tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Dalam krisis sebesar ini, Ismail perlu menjelaskan asas pendiriannya secara konsisten, termasuk bagaimana keputusan Exco berhubung proklamasi itu dibuat dan adakah ia selari dengan sokongan yang pernah dizahirkannya kepada Tuanku Muhriz.

Akhirnya, tumpuan tidak seharusnya terhenti pada bagaimana Tuanku Muhriz menegur Ismail, tetapi turut merangkumi mengapa baginda sampai ke tahap menolak untuk menerima Menteri Besar menghadap.

Selagi persoalan mengenai percanggahan pendirian itu belum dijawab dengan jelas, polemik mengenai adab di masjid hanya akan membayangi isu pokok yang mencetuskan krisis Negeri Sembilan.

Related Posts

Kerajaan sokong usaha perkukuh pemikiran Islam, tadbir urus negara

KUALA LUMPUR – Usaha memperkukuh penyelidikan dan memperluas wacana pemikiran Islam terus mendapat sokongan kerajaan bagi memastikan sumbangan bidang keilmuan itu dapat dimanfaatkan dalam pembangunan tadbir urus negara serta kesejahteraan…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Ustaz Husam diperintah bela diri kes gelaran tidak diiktiraf

KANGAR – Pendakwah, Ahmad Husam Muhamad Baderudin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Husam diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima gelaran dan kehormatan tidak…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Jangan lindungi perbuatan khianat Ismail penyebab kemurkaan Tuanku Muhriz

Jangan lindungi perbuatan khianat Ismail penyebab kemurkaan Tuanku Muhriz

Kerajaan sokong usaha perkukuh pemikiran Islam, tadbir urus negara

Kerajaan sokong usaha perkukuh pemikiran Islam, tadbir urus negara

Warga asing maut motosikal rempuh kenderaan buat pusingan U

  • By Fatin
  • October 16, 2026
Warga asing maut motosikal rempuh kenderaan buat pusingan U

Ustaz Husam diperintah bela diri kes gelaran tidak diiktiraf

Ustaz Husam diperintah bela diri kes gelaran tidak diiktiraf

Pelajar UM nafi soalan ‘scripted’, tegaskan fokus isu rasuah dan feudalisme

Pelajar UM nafi soalan ‘scripted’, tegaskan fokus isu rasuah dan feudalisme

Maritim Malaysia pintas bot PATI, 28 ditahan

Maritim Malaysia pintas bot PATI, 28 ditahan