
KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang meneliti dakwaan petrol bercampur air yang dipercayai menyebabkan kerosakan beberapa kenderaan selepas mengisi bahan api di sebuah stesen minyak di Tanjung Mas, di sini.
Pengarah KPDN Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, pengguna yang terjejas diminta mengemukakan aduan rasmi berserta bukti berkaitan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Menurutnya, pengguna yang mengalami kerugian turut boleh menuntut pampasan melalui Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).
“Pengguna perlu membuat aduan rasmi dan membawa bersama semua bukti kerosakan yang dialami yang dikaitkan dengan pengisian petrol dipercayai bercampur air.
“Sekiranya tribunal mengesahkan berlaku kesalahan, pemilik stesen minyak boleh diarahkan membayar ganti rugi,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat KPDN Kelantan, pada Jumaat.
Pada Khamis, media melaporkan seorang peniaga mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM4,800 selepas kereta jenis Honda Stream miliknya rosak dipercayai akibat mengisi petrol RON95 bercampur air di sebuah stesen minyak di Tanjung Mas, bulan lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Hanif berkata, pihaknya turut mengambil sampel petrol di sebuah stesen minyak di Tanah Merah susulan aduan pengguna yang mendakwa kenderaannya mengalami kerosakan selepas mengisi bahan api di premis berkenaan minggu lalu.
Menurutnya, sampel berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis bagi menentukan sama ada petrol itu benar-benar bercampur air atau sebaliknya.
“Kita masih menunggu keputusan analisis sebelum sebarang tindakan lanjut diambil terhadap stesen minyak terbabit,” katanya.
Beliau turut menggalakkan pengguna yang mengalami kejadian sama supaya membuat aduan rasmi kepada KPDN bagi membantu melancarkan proses siasatan.
Hanif berkata, pengguna juga boleh mengemukakan tuntutan menerusi TTPM, yang membenarkan tuntutan sehingga RM50,000.








