TAWAU – Seramai 258 mangsa daripada 68 keluarga terjejas dalam kejadian kebakaran di Lorong Mat Salleh Batu 2 Jalan Apas ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kompleks Sukan Tawau, pada Jumaat.
Daripada jumlah itu, 254 orang membabitkan 67 keluarga warganegara, terdiri daripada enam warga emas lelaki, 11 warga emas perempuan, 68 dewasa lelaki, 81 dewasa perempuan, 39 kanak-kanak lelaki, 41 kanak-kanak perempuan serta lapan bayi.
Sementara itu, empat orang daripada satu keluarga bukan warganegara turut terjejas, membabitkan seorang dewasa lelaki, dua dewasa perempuan dan seorang bayi lelaki.
Kira-kira pukul 12 tengah hari pada Sabtu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau mengisytiharkan Tawau sebagai bencana kebakaran.
Pengisytiharan itu dibuat Timbalan Presiden merangkap Timbalan Pengerusi JPBD Tawau, Mohd Fawzi Abdul Kadir.
Beliau berkata, ia dibuat berdasarkan laporan dan maklumat di lapangan yang diterima daripada agensi-agensi dalam JPBD.



