
MATU – Kedudukan sekolah di kawasan pedalaman bukan alasan untuk pelajar mengehadkan cita-cita atau menganggap kejayaan sukar dicapai, sebaliknya pendidikan perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membina masa depan lebih baik.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, pelajar perlu mempunyai cita-cita tinggi serta berusaha bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu tanpa menjadikan kekurangan kemudahan atau lokasi sekolah sebagai penghalang untuk mencapai kecemerlangan.
Menurutnya, kejayaan sebenar bukan sekadar diukur melalui pencapaian akademik dan kerjaya, malah perlu diseimbangkan dengan pembentukan adab, akhlak, disiplin serta keprihatinan terhadap masyarakat.
“Pelajar perlu bercita-cita tinggi dan belajar bersungguh-sungguh. Jangan jadikan kedudukan sekolah di luar bandar sebagai penghalang untuk berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Graduasi 2025 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Matu, pada Sabtu.
Ahmad Johnie yang juga bekas pelajar sekolah berkenaan turut berkongsi pengalaman ketika menuntut di SMK Matu pada 1974 sebagai sebahagian daripada perjalanan pendidikannya.
Menurutnya, ilmu pengetahuan bukan sahaja penting untuk mencapai kejayaan, malah perlu membentuk individu yang mempunyai keimanan, kesabaran dan empati terhadap orang lain.
Beliau turut menekankan bahawa pendidikan seharusnya melahirkan generasi berilmu dan berakhlak mulia yang mampu memahami kesusahan masyarakat serta memberi sumbangan positif kepada komuniti.
Sehubungan itu, pelajar digalakkan memanfaatkan peluang pendidikan yang tersedia dengan sebaik mungkin dan terus berusaha mencapai cita-cita tanpa menjadikan latar belakang atau kedudukan sekolah sebagai kekangan.



