
PUTRAJAYA – Penetapan kadar gaji minimum RM2,000 sebulan mulai Jun 2027 dibuat selepas kerajaan mengambil kira kesan kenaikan gaji terhadap inflasi, harga barang serta kemampuan ekonomi menampung peningkatan kos berkenaan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, kadar itu ditentukan menerusi penelitian teliti bagi memastikan pelaksanaannya tidak memberikan tekanan berlebihan terhadap ekonomi negara.
“Seperti yang saya katakan, kita telah membuat pengiraan ini dengan sangat teliti. Jika kita lihat, kenaikan ini (gaji) juga tidak mendadak.
“Kita tidak menetapkan kadar sehingga RM3,000 hingga RM3,500 seperti yang diumumkan oleh ramai pakar di luar sana kerana ramai dalam kalangan mereka tidak mengambil kira kenaikan harga dan inflasi,” katanya, seperti dipetik berita tempatan hari ini.
Ramanan berkata, penetapan kadar berkenaan turut mengambil kira hasil perbincangan dan penelitian bersama pasukan berkaitan sebelum keputusan dimuktamadkan.
Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meneliti cadangan itu sebelum keputusan dibuat di peringkat kerajaan.
“Apabila kita membentangkan perkara ini kepada Jemaah Menteri dan membincangkannya dengan Perdana Menteri, beliau juga perlu meneliti dan yakin bahawa ini merupakan pendekatan yang wajar sebelum keputusan dibuat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan yakin keputusan yang dibuat secara bersama itu mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan dapat dilakukan dengan baik.
Dalam pada itu, Ramanan berkata, kerajaan turut memberikan kelonggaran kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan RM50 juta ke bawah daripada kewajipan melaksanakan kadar gaji minimum RM2,000.
Menurutnya, majikan dalam kategori berkenaan boleh terus menggunakan kadar gaji minimum RM1,700, namun kerajaan menggalakkan majikan yang berkemampuan supaya melaksanakan kadar RM2,000 bagi meningkatkan pendapatan pekerja.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memberi ruang kepada industri menyesuaikan diri dengan perubahan tanpa menjejaskan kestabilan ekonomi negara.
Beliau menegaskan, pelaksanaan dasar berkenaan perlu dilakukan secara berperingkat dan sistematik supaya kepentingan pekerja serta majikan terus diambil kira.


