KUALA PILAH – Ketegangan berhubung krisis adat dan perlembagaan Negeri Sembilan kembali menjadi perhatian apabila video memaparkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menegur sikap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, tular di media sosial.
Rakaman dipercayai diambil selepas solat Jumaat di Masjid Kampung Beting di sini, memaparkan baginda memberitahu Ismail bahawa baginda tidak mahu bertemu dengannya selagi kenyataan terdahulu yang menyatakan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar tidak ditarik balik.
Tuanku Muhriz turut menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap Ismail dan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) berhubung surat kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan baginda bukan lagi pemerintah negeri.
Ismail kemudian dilihat merafak sembah sebagai tanda hormat kepada baginda.
Satu lagi video berasingan menunjukkan Tuanku Muhriz tidak menyambut huluran tangan Ismail ketika tiba di masjid berkenaan sebelum solat Jumaat.
Pada 13 September lalu, Ismail berkata pengisytiharan pada 19 April oleh bekas Undang yang melucutkan Tuanku Muhriz daripada jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sudah diluluskan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, keputusan itu turut mendapat sokongan sebulat suara semua ahli Exco dalam mesyuarat berkenaan.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan Menteri Besar dan Exco tidak mempunyai kuasa unilateral untuk melucutkan jawatan pemerintah atau mengisytiharkan jawatan itu kosong.
AGC menjelaskan bahawa keabsahan dan kesan undang-undang pengisytiharan berkenaan perlu ditentukan menerusi proses perlembagaan dan undang-undang mengikut Perlembagaan Negeri Sembilan.
Seminggu kemudian, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 ahli Exco negeri.
Krisis adat dan perlembagaan Negeri Sembilan itu berlarutan sejak April lalu.






