
SIBU – Dua lelaki berdepan detik cemas dan mengalami kecederaan selepas sebuah lori jenis Isuzu yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbalik di tepi jalan di Kilometer 114, Jalan Sibu-Bintulu, awal pagi Jumaat.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam satu kenyataan memaklumkan, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 4.54 pagi.
Menurut kenyataan tersebut, sepasukan anggota penyelamat yang tiba di lokasi pada jam 5.35 pagi mendapati terdapat seorang mangsa masih terperangkap di dalam ruang kabin lori, manakala seorang lagi telah tercampak keluar daripada kenderaan berat berkenaan.
Mangsa yang terperangkap dilaporkan mengalami luka dan pendarahan pada kaki kiri, manakala mangsa yang tercampak mengalami kecederaan pada bahagian kepala serta badan.
“Kedua-dua mangsa bagaimanapun berada dalam keadaan sedar. Pasukan bomba bertindak pantas mengeluarkan mangsa dengan menggunakan pengusung dan memasang alat penstabil leher (cervical collar) bagi memastikan proses pemindahan dilakukan dengan selamat,” jelas kenyataan itu.
Kedua-dua mangsa kemudiannya diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Selangau yang berada di lokasi kejadian untuk tindakan rawatan lanjut.
Operasi menyelamat berjaya dikawal pada jam 6.32 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.35 pagi selepas komander operasi memastikan kawasan persekitaran kemalangan benar-benar selamat daripada sebarang bahaya.




