
KUCHING – Sebuah syarikat tempatan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM327,000 selepas kakitangannya diperdaya oleh individu yang menyamar sebagai pengarah syarikat menerusi aplikasi WhatsApp.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, kes penipuan telekomunikasi (phone scam) itu membabitkan seorang wanita warga tempatan berusia 26 tahun yang menerima mesej daripada suspek ketika berada di pejabatnya pada Khamis lalu.
Menurutnya, suspek licik memperdaya mangsa dengan mengarahkannya untuk membuat pemindahan wang syarikat serta-merta bagi tujuan kononnya sebagai bayaran pendahuluan untuk pembaharuan kontrak baharu.
“Mangsa yang mempercayai arahan tersebut kemudian memaklumkan perkara itu kepada akauntan syarikat sebelum dua transaksi pemindahan wang dilakukan ke dalam dua akaun bank yang berbeza,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun, Alexson menjelaskan, penipuan itu terbongkar selepas akauntan syarikat menyemak semula transaksi kewangan tersebut dan mendapati nama penerima wang berkenaan amat mencurigakan.
“Semakan lanjut bersama pengarah sebenar syarikat akhirnya mengesahkan bahawa beliau tidak pernah mengarahkan sebarang pemindahan wang berkenaan, sekali gus mendedahkan kegiatan penipuan tersebut,” ujarnya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan secara tidak jujur mendorong penyerahan harta.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, berserta sebatan dan denda.
Dalam pada itu, pihak polis menasihatkan orang ramai dan pengurusan syarikat supaya sentiasa membuat pengesahan berganda (double-check) dengan pihak berkaitan sebelum melaksanakan sebarang transaksi kewangan, terutamanya apabila menerima arahan pembayaran menerusi panggilan telefon atau aplikasi pesanan pantas.
Orang ramai juga disaran menyemak nombor telefon dan akaun bank yang mencurigakan menerusi portal Semak Mule PDRM di pautan https://semakmule.rmp.gov.my.
Sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan jenayah komersial boleh disalurkan kepada talian Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak di talian 011-62890089 atau e-mel ke kjsjkswk@rmp.gov.my.
Mangsa penipuan juga dinasihatkan untuk menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 dengan kadar segera bagi menyekat aliran wang keluar.



