
ALOR SETAR – Seorang daripada tiga remaja lelaki yang terkena renjatan elektrik ketika menyertai perarakan keagamaan di Mergong, di sini malam tadi dilaporkan masih tidak sedarkan diri selepas melecur 80 peratus pada badan.
Mangsa yang berusia 16 tahun dan merupakan pelajar sekolah itu kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.
Dua lagi mangsa berusia 17 tahun masing-masing mengalami kecederaan melecur 20 peratus pada tangan serta 40 peratus pada muka dan tangan.
Mangsa yang merupakan pelajar sekolah dan seorang lagi bekerja di premis alat ganti dan aksesori motosikal dilaporkan telah sedarkan diri, namun masih dalam pemantauan pihak hospital.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian berlaku ketika mangsa membawa tiang bendera semasa perarakan tokong sayur.
“Tiang bendera itu dipercayai tersentuh talian utama bekalan elektrik pada ketinggian dianggarkan 10 meter sebelum menyebabkan ketiga-tiga mereka terkena renjatan elektrik.
“Susulan itu, anggota Balai Polis Alor Setar digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, seorang mangsa berusia 16 tahun dilaporkan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berada dalam pemantauan pihak hospital.
Terdahulu, media melaporkan tiga remaja lelaki berusia 16 dan 17 tahun cedera selepas bendera yang dibawa ketika perarakan tokong sayur dipercayai terkena talian elektrik bervoltan tinggi.
Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu menyebabkan ketiga-tiga mangsa dikejarkan ke HSB untuk mendapatkan rawatan.





