
PUTRAJAYA – Kejayaan meyakinkan Myanmar menerima semula ribuan pelariannya meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di dunia mencapai persetujuan berkenaan, kata Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Menteri Komunikasi itu berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai pencapaian diplomatik luar biasa, terutama apabila kos penghantaran pulang ditanggung sepenuhnya oleh pihak Myanmar.
“Ini satu pencapaian luar biasa kerana seperti yang Perdana Menteri maklumkan, Malaysia merupakan negara pertama di dunia berjaya meyakinkan sebuah negara seperti Myanmar untuk menerima kembali pelariannya.
“Semua dipulangkan pada kos ditanggung oleh pihak Myanmar itu sendiri. Jadi ini satu pencapaian diplomatik yang cukup membanggakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi Oktober 2026, di sini, hari ini.
Perhimpunan sempena Hari Sukan Negara 2026 itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; dan Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, lawatan rasmi Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, pada 7 dan 8 Oktober lalu turut membuka ruang perbincangan bagi memastikan lebih ramai pelarian negara itu dapat dihantar pulang.
“Insya-Allah dalam masa terdekat, lebih 3,000 pelarian Myanmar pelbagai etnik akan mula dihantar pulang,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Bernama dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneliti perkembangan berkenaan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Malaysia memperkukuh hubungan diplomatik dengan negara lain.
Sebelum ini, Malaysia melaksanakan program penghantaran pulang fasa pertama membabitkan 1,476 tahanan warga Myanmar menggunakan tiga kapal, termasuk sebuah kapal hospital milik Tentera Laut Myanmar.
Anwar turut dilaporkan berkata, Myanmar bersedia memudahkan proses penghantaran pulang warganya secara besar-besaran dan menanggung kos berkaitan.
Sementara itu, Fahmi berkata, pencapaian diplomatik Malaysia turut merangkumi kehadiran Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi, dan Raja Jordan, Raja Abdullah II, ke negara ini, selain pelaksanaan inisiatif Global Sumud bagi membantu rakyat Palestin.
“Jadi Insya-Allah, beberapa langkah diplomatik ini akan dapat mengukuhkan bukan hanya kedudukan Malaysia di mata dunia, tetapi juga membantu kumpulan-kumpulan seperti rakyat Palestin,” katanya.





