
KUCHING – Penduduk di kawasan pedalaman Ba’Kelalan bakal menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik menerusi pembinaan Klinik Kesihatan Ba’Kelalan baharu bernilai RM14.8 juta, yang dijangka siap pada suku keempat 2028.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, klinik kesihatan Jenis 7 itu sudah diluluskan dengan peruntukan berkenaan dan kini dalam proses tender.
“Klinik Kesihatan Ba’Kelalan baharu Jenis 7 diluluskan dengan peruntukan RM14.8 juta dan kini dalam proses tender dengan projek dijangka siap pada suku keempat 2028,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian, pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Selain pembinaan klinik baharu itu, kemudahan kesihatan di Long Semadoh, Lawas, turut diberi perhatian menerusi projek menaik taraf infrastruktur bekalan elektrik Klinik Kesihatan Long Semadoh yang membabitkan peruntukan RM4 juta.
Menurutnya, projek yang turut merangkumi pemasangan sistem tenaga solar itu bermula pada 19 Julai 2026 dan dijadualkan siap pada suku ketiga 2027 bagi menambah baik kemudahan bekalan elektrik di klinik berkenaan.
Dalam perkembangan berkaitan, kerja menaik taraf Klinik Kesihatan Ba’Kelalan dan Klinik Kesihatan Long Semadoh di bawah Projek Klinik Daif selesai dilaksanakan pada 2024 dengan peruntukan keseluruhan RM750,000.
Peruntukan itu melibatkan RM450,000 bagi kerja naik taraf Klinik Kesihatan Ba’Kelalan yang selesai pada 19 November 2024, manakala RM300,000 lagi disalurkan untuk menaik taraf Klinik Kesihatan Long Semadoh yang siap pada 22 Oktober tahun sama.
Foto: Japen Sarawak






