Dakwa Belanjawan 2027 ‘gula-gula politik’, mana alternatif pembangkang?

PUTRAJAYA – Melabelkan peningkatan bantuan menerusi Belanjawan 2027 sebagai gula-gula politik tanpa menunjukkan bukti dan alternatif yang lebih berkesan mempamerkan drama politik tidak matang pembangkang dalam melaksanakan semak dan imbang.

Penganalisis sosiopolitik, keselamatan dan hubungan antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, dakwaan itu perlu dipersembahkan serta dinilai berdasarkan bukti, reka bentuk dasar dan keperluan sebenar rakyat.

Beliau tidak menafikan pengumuman bantuan kerajaan boleh membawa manfaat politik kepada pihak yang memerintah namun tidak secara automatik langkah diambil kerajaan membuktikan bahawa sesuatu dasar diperkenalkan semata-mata untuk meraih undi.

“Dari perspektif keselamatan manusia, bantuan sosial berperanan mengurangkan kerentanan ekonomi, khususnya dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah, pekerja bergaji tetap dan golongan yang terkesan oleh kenaikan kos barangan serta perkhidmatan.

“Sekiranya peningkatan bantuan dibuat berdasarkan penelitian terhadap keluhan rakyat, data pendapatan, perubahan harga dan jurang perlindungan sosial, langkah itu boleh menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh ketahanan ekonomi masyarakat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Nur Ashikin berkata, jika benar-benar prihatin terhadap rakyat, pembangkang seharusnya menilai sama ada bantuan tersebut mencukupi untuk memenuhi keperluan asas, sama ada mekanisme penyalurannya adil atau terdapat pendekatan lebih berkesan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

“Pembangkang berhak persoal sama ada bantuan diberikan cukup, disasarkan dengan tepat dan mampu dikekalkan dalam jangka panjang. Persoalan ini penting kerana bantuan tunai bersifat sementara tidak semestinya menyelesaikan masalah struktur seperti produktiviti rendah, gaji tidak sepadan dengan kos hidup, kekurangan pekerjaan berkualiti dan kebergantungan isi rumah terhadap hutang.

“Pembangkang wajar mengemukakan penilaian alternatif yang menunjukkan bagaimana kebajikan rakyat boleh dipertingkatkan dengan penggunaan sumber awam yang lebih cekap,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Ashikin menegaskan, pembentangan belanjawan alternatif merupakan antara mekanisme paling konstruktif untuk membuktikan kematangan politik pembangkang.

Menurutnya, jika Ketua Pembangkang berpendapat bahawa Belanjawan 2027 tidak mencukupi atau tidak menangani masalah rakyat secara berkesan, beliau sewajarnya mengemukakan cadangan alternatif yang lengkap dan boleh dinilai secara objektif.

“Belanjawan alternatif seharusnya menjelaskan keutamaan perbelanjaan, sumber hasil kerajaan, strategi mengurangkan defisit, mekanisme meningkatkan pendapatan rakyat dan pendekatan menangani ancaman keselamatan negara.

“Dalam konteks keselamatan menyeluruh, ia juga perlu memberikan perhatian kepada kesiapsiagaan pertahanan, keselamatan sempadan, keselamatan siber, keterjaminan makanan, tenaga serta ketahanan rantaian bekalan strategik.

“Pembangkang perlu menjelaskan bukan sahaja perkara yang ingin dilakukan, tetapi juga bagaimana ia akan dibiayai dan apakah implikasinya kepada ekonomi negara. Sebagai contoh, sekiranya mereka mahu meningkatkan bantuan tunai, mereka perlu menyatakan sumber pembiayaan dan mekanisme memastikan bantuan sampai kepada kumpulan yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya, sekiranya pembangkang mencadangkan pengurangan cukai atau subsidi, mereka perlu menilai kesannya terhadap hasil kerajaan dan kedudukan kewangan negara.

“Di sinilah letaknya perbezaan antara kritikan politik dengan kepimpinan yang bertanggungjawab. Mengkritik belanjawan kerajaan mungkin menarik perhatian, tetapi mengemukakan belanjawan alternatif yang berdaya maju menunjukkan kemampuan berfikir secara strategik, memahami kekangan fiskal dan menyeimbangkan tuntutan kebajikan dengan keperluan keselamatan negara.

“Teguran membina lebih tegas ialah pembangkang tidak sepatutnya hanya meminta rakyat menilai kelemahan kerajaan, tetapi memberi rakyat asas kukuh untuk menilai kemampuan mereka sendiri. Jika pembangkang dakwa ada pendekatan lebih baik, mereka perlu buktikan melalui pengiraan kos, sasaran yang jelas, unjuran impak dan pelan pelaksanaan yang realistik.

“Belanjawan alternatif juga boleh meningkatkan ketelusan demokrasi kerana rakyat dapat membandingkan dua atau lebih pendekatan pengurusan negara. Perbahasan kemudian beralih daripada pertarungan naratif mengenai siapa bakal memerintah kepada perbandingan dasar yang boleh diukur dari segi keberkesanan, kemampuan fiskal dan manfaat kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, Peningkatan peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam Belanjawan 2027 memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum (PRU) mungkin diadakan tahun depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata belanjawan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sarat dengan pengumuman berbentuk ‘gula-gula’ susulan peningkatan perbelanjaan mengurus sebanyak 11.41 peratus kepada RM376.8 bilion

Related Posts

Cadangan undang-undang anti-Ali Baba dibawa ke Parlimen tahun depan

KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang membentangkan cadangan penggubalan undang-undang baharu atau pindaan peruntukan sedia ada bagi membendung amalan rent-seeking atau Ali Baba di Parlimen tahun depan. Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Nilai ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, disokong sentimen positif susulan pembentangan Belanjawan 2027. Pada jam 8 pagi, ringgit meningkat sedikit kepada 4.0815/0900 berbanding…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Malaysia, Indonesia teroka mekanisme bersama tangani jerebu

Malaysia, Indonesia teroka mekanisme bersama tangani jerebu

Malaysia negara pertama yakinkan Myanmar terima pulang pelarian – Fahmi

Malaysia negara pertama yakinkan Myanmar terima pulang pelarian – Fahmi

Ba’Kelalan bakal miliki klinik kesihatan baharu bernilai RM14.8 juta

Ba’Kelalan bakal miliki klinik kesihatan baharu bernilai RM14.8 juta

Sanusi perlu jawab isu tanah, transaksi RM40 juta – Mahfuz

Sanusi perlu jawab isu tanah, transaksi RM40 juta – Mahfuz

Cadangan undang-undang anti-Ali Baba dibawa ke Parlimen tahun depan

Cadangan undang-undang anti-Ali Baba dibawa ke Parlimen tahun depan

Dakwa Belanjawan 2027 ‘gula-gula politik’, mana alternatif pembangkang?

Dakwa Belanjawan 2027 ‘gula-gula politik’, mana alternatif pembangkang?