
KUALA LUMPUR – Kerajaan bercadang membentangkan cadangan penggubalan undang-undang baharu atau pindaan peruntukan sedia ada bagi membendung amalan rent-seeking atau Ali Baba di Parlimen tahun depan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, kajian sedang dijalankan bagi merangka kerangka kawal selia serta cadangan perundangan berkaitan usaha membanteras amalan berkenaan.
Beliau berkata, meskipun Undang-undang Kecil (UUK) di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah memperuntukkan larangan pemindahan lesen, kekangan perundangan sedia ada dilihat masih belum mampu membendung amalan rent-seeking secara berkesan.
“Kajian sedang dijalankan bagi menyediakan kerangka kawal selia dan cadangan perundangan berkaitan anti rent-seeking.
“Kajian ini turut mengambil kira pandangan pemain industri, agensi penguatkuasaan, kementerian berkaitan, kerajaan negeri serta pihak berkepentingan lain bagi memastikan pendekatan dirangka bersifat menyeluruh dan bersesuaian dengan keperluan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Syahredzan meminta penjelasan mengenai status terkini penggubalan rang undang-undang anti rent-seeking, sama ada melalui pengenalan akta baharu atau pindaan akta sedia ada, bagi membanteras penyalahgunaan lesen Ali Baba serta garis masa pembentangannya di Parlimen.
Akmal Nasrullah berkata, kajian turut mendapati amalan rent-seeking berpotensi menjejaskan kecekapan sosioekonomi negara berikutan ketirisan dalam pemberian lesen, kontrak, kemudahan dan perkara berkaitan.
Katanya, proses penggubalan undang-undang memerlukan penelitian mendalam bagi memastikan setiap cadangan yang dirangka praktikal, berkesan dan boleh dilaksanakan.
“Oleh kerana isu rent-seeking merentas bidang kuasa beberapa kementerian dan agensi, penyelarasan serta persetujuan bersama turut diperlukan sebelum sesuatu pendekatan dimuktamadkan.
“Seterusnya, cadangan berkenaan perlu melalui proses pertimbangan dan kelulusan secara berperingkat, termasuk di peringkat Jawatankuasa Perancangan dan Pembangunan Negara (JPPN) dan Jemaah Menteri, sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya.





