
KUCHING – Inisiatif tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kepada 4,200 anak anak kelahiran Sarawak dan Sabah dalam Belanjawan 2027 disifatkan sebagai langkah penting dalam meluaskan peluang pendidikan tinggi serta meringankan beban kewangan keluarga, khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, bantuan penajaan berkenaan memberi impak besar kepada pelajar anak jati Sarawak untuk melanjutkan pengajian ke peringkat universiti tanpa halangan kekangan kewangan.
“Tajaan JPA ini sangat bermakna kerana ia meluaskan peluang pendidikan tinggi terutamanya bagi anak-anak di kawasan luar bandar dan pedalaman, selain membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa,” katanya ketika dihubungi TMP, hari ini.

Selain tajaan JPA, Ahmad Johnie turut memuji penambahbaikan inisiatif FlySiswa Madani 2027 yang dinaikkan daripada RM400 kepada RM500, sekali gus memberi kelegaan kepada lebih 60,000 pelajar Sabah dan Sarawak yang menuntut di Semenanjung mahupun sebaliknya.
“Peningkatan subsidi tiket penerbangan sebanyak RM100 ini amat bertepatan pada waktunya ketika harga tiket penerbangan yang tinggi, membolehkan anak-anak Sarawak pulang ke kampung halaman dengan kos yang lebih terjangkau,” jelas beliau.
Beliau menambah, komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap sektor pendidikan Sarawak turut dizahirkan menerusi peningkatan Bantuan Awal Prasekolahan kepada RM200 serta penambahan Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas kepada RM200 sebulan.
Secara keseluruhannya, Ahmad Johnie menzahirkan penghargaan atas peningkatan peruntukan Pembangunan Persekutuan kepada Sarawak sebanyak RM16.2 bilion berbanding RM15.1 bilion tahun ini, yang disifatkan selari dengan tema Belanjawan 2027 ‘MALAYSIA MADANI: Menggapai di langit, Mengakar di bumi’ demi merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar.


