
AMPANG – Penduduk dan peniaga di sekitar Taman Nirwana berpeluang memperoleh wang tunai RM4 bagi setiap ekor tikus yang diserahkan menerusi Kempen Membasmi Tikus (Rat to Cash) anjuran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Sabtu ini.
Kempen yang berlangsung pada 28 November itu diadakan dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari di Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana sebagai usaha mengurangkan populasi tikus serta meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan persekitaran komuniti.
“MPAJ melalui Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan akan menganjurkan Kempen Membasmi Tikus (Rat to Cash) sebagai inisiatif mengurangkan populasi tikus serta meningkatkan tahap kebersihan dan kesihatan persekitaran komuniti.
“Melalui kempen ini, orang ramai boleh menyerahkan tikus di kaunter bayaran dan menerima RM4 bagi setiap ekor tikus yang memenuhi syarat program,” menurut kenyataan di Facebook.
MPAJ turut mengalu-alukan penyertaan penduduk dan peniaga setempat untuk bersama-sama menjayakan inisiatif berkenaan.
Usaha itu diharap dapat membantu mengawal populasi tikus, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, sihat dan selamat untuk masyarakat.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Jabatan Perkhidmatan Bandar dan Kesihatan MPAJ menerusi talian 03-4285 7007.



