
TAWAU – Peruntukan sebanyak RM47.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Belanjawan 2027 diyakini dapat memenuhi keperluan sektor kesihatan di Sabah dan Sarawak.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, aspek kesihatan perlu terus diberikan keutamaan kerana ia selaras dengan usaha meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Dari Negeri Sabah sendiri, ini adalah salah satu perjuangan utama kita daripada peringkat sektor kesihatan dalam kita memastikan MA63 itu direalisasikan.
“Saya percaya peningkatan peruntukan dalam sektor kesihatan akan lebih menjustifikasikan keperluan kita di Sabah dan Sarawak terutamanya dalam sektor ini,” ujarnya kepada media di Tawau selepas diminta mengulas mengenai peruntukan KKM dalam Belanjawan 2027.

Dalam pada itu, Rina yang juga ADUN Kukusan positif dengan peningkatan peruntukan termasuk bayaran interim RM1.5 bilion kepada negeri ini.
“Kita berharap tahun 2027 akan banyak peruntukan bagi menangani masalah infrastruktur yang belum dapat diselesaikan.
“Ini adalah peluang kita untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kepentingan utama yang cuba kita selesaikan akhirnya dapat direalisasikan, walaupun sedikit demi sedikit.
“Sekurang-kurangnya, kita sudah memulakan langkah untuk menyelesaikan masalah infrastruktur kita,” tambahnya.
Mengenai penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap, Rina berkata, perkara itu masih memerlukan penelitian lanjut di peringkat kementerian dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan keperluan tenaga kerja sektor kesihatan di Sabah dapat dipenuhi.
“Saya kira kita perlu menunggu pihak Persekutuan sendiri untuk memastikan perubahan permintaan kita berkaitan kekosongan jawatan dalam sektor kesihatan yang perlu diisi buat masa ini.
“kita sudah mengetahui keperluan tenaga kerja dan penempatan petugas di setiap daerah serta hospital yang memerlukan.
“Semua data dan angka sudah ada, cuma usaha untuk mengisi kekosongan itu masih menjadi cabaran,” jelasnya.





