
LAHAD DATU – Belanjawan 2027 mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI memastikan agenda pembangunan negara terus dilaksanakan seiring usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.
Ketua Cabang PKR Lahad Datu, Romansa Lamin berkata, belanjawan bukan sekadar soal angka dan peruntukan, tetapi ia adalah gambaran tentang keutamaan kerajaan serta arah yang mahu dibawa untuk masa depan negara.
“Bagi negeri-negeri seperti Sabah dan Sarawak, kita berharap segala peruntukan pembangunan dapat diterjemahkan kepada projek dan kemudahan yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Yang paling penting ialah pelaksanaan khususnya dari segi infrastruktur, pendidikan, kesihatan, bekalan air, elektrik, jalan raya dan jaringan komunikasi,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Romansa berkata, Belanjawan 2027 memberi perhatian kepada peningkatan pendapatan rakyat, pengukuhan jaringan keselamatan sosial, pembangunan ekonomi, peluang pekerjaan serta usaha memperkukuh daya saing negara.
“Saya melihat Belanjawan MADANI 2027 sebagai satu langkah yang positif dalam membina ekonomi yang lebih inklusif, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan menyediakan asas yang lebih kukuh untuk masa depan negara.
“Peningkatan gaji minimum kepada RM2,000 mulai Jun 2027 merupakan antara langkah yang menunjukkan kerajaan mengambil serius soal pendapatan dan kehidupan golongan pekerja.
“Pada masa yang sama, usaha memperluaskan bantuan dan sokongan kepada golongan yang memerlukan membuktikan bahawa prinsip tiada siapa yang tertinggal terus menjadi sebahagian daripada agenda Kerajaan MADANI,” ujarnya.
Beliau turut menyentuh kepentingan pelaburan kerajaan dalam pendidikan, kemahiran, teknologi dan pembangunan modal insan.
Katanya, negara tidak boleh hanya mengejar pertumbuhan ekonomi, tetapi mesti memastikan anak-anak muda kita mempunyai kemahiran dan peluang untuk menjadi tenaga penggerak ekonomi masa hadapan.
“Begitu juga dengan usaha memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana apabila usahawan tempatan, peniaga kecil dan sektor ekonomi rakyat perlu terus diberikan ruang, pembiayaan dan sokongan agar mereka bukan sahaja mampu bertahan, tetapi berkembang.
“Inilah semangat reformasi yang perlu terus diperkukuhkan oleh Kerajaan MADANI, bukan sekadar mengubah dasar, tetapi mengubah cara kerajaan bekerja dan memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat.
“Rakyat boleh menyokong Belanjawan MADANI 2027 dengan sokongan itu harus disertai harapan agar setiap peruntukan dilaksanakan dengan cekap, telus dan bebas daripada ketirisan,” jelasnya.





