TAWAU – Wanita diseru supaya lebih prihatin terhadap kesihatan payudara dengan menjalani pemeriksaan bersesuaian serta mendapatkan nasihat profesional sekiranya mengesan sebarang perubahan yang membimbangkan.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, kesedaran itu penting bagi menggalakkan wanita mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri selain memahami kepentingan pemeriksaan awal berkaitan kanser payudara.
“Wanita memainkan pelbagai peranan penting dalam keluarga, pekerjaan serta masyarakat dan dalam kesibukan menjaga orang lain, kita juga perlu ingat bahawa kesihatan diri sendiri tidak boleh diabaikan.
“Ingatlah, wanita yang sihat membina keluarga yang kuat dan masyarakat yang prihatin membina masa depan yang lebih baik,” katanya berucap pada Pink Ribbon Ladies Pickleball Tournament di Tawau, pada Ahad.

Dalam pada itu, Rina yang juga ADUN Kukusan turut memberikan sokongan moral kepada mereka yang sedang berjuang melawan kanser payudara.
“Anda tidak bersendirian. Kita perlu terus membina masyarakat yang memahami, menyokong dan berdiri bersama anda,” ujarnya.
Mengenai kejohanan itu, Rina berkata,
ia bukan sahaja meraikan sukan, tetapi turut membawa mesej yang jauh lebih besar iaitu kesihatan, kesejahteraan dan solidariti sesama wanita.
“Sukan seperti ‘pickleball’ bukan sekadar aktiviti fizikal. Ia membuka ruang untuk kita membina persahabatan, mengurangkan tekanan, meningkatkan keyakinan diri dan menjaga kesejahteraan mental.
“Saya berharap program seperti ini akan terus menggalakkan lebih ramai wanita untuk menjalani kehidupan yang aktif, sihat dan seimbang,” serunya.
Kejohanan anjuran Fuji Pickleball Club Tawau itu disertai lebih 130 wanita dari Tawau dan Sandakan.
Dana yang dikumpulkan pada kejohanan itu akan disumbangkan kepada Sabah Kinabalu Pink Ribbon bagi menyokong usaha berkaitan kanser payudara.






