Belanjawan MADANI 2027: Kejayaan bergantung pelaksanaan beramanah – Mahfuz

KEJAYAAN Belanjawan MADANI 2027 tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah peruntukan yang diumumkan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keberkesanan pelaksanaan dasar serta sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mahfuz Omar berkata, setiap peruntukan yang disediakan kerajaan perlu diurus secara telus, beramanah dan disertai mekanisme pemantauan yang berkesan bagi mengelakkan ketirisan serta pembaziran wang awam.

Beliau berkata, kejayaan sebenar sesebuah belanjawan dapat dilihat melalui perubahan yang dirasai rakyat, termasuk pengurangan beban kos sara hidup, peningkatan pendapatan, peluang pekerjaan berkualiti serta keberkesanan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

“Saya menyambut baik pembentangan Belanjawan MADANI 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan mengucapkan tahniah kepada beliau serta seluruh pasukan yang terlibat dalam penyediaannya.

“Namun, kejayaan belanjawan tidak boleh dinilai berdasarkan pengumuman dan angka peruntukan semata-mata. Ukuran sebenar ialah sejauh mana setiap dasar dilaksanakan dengan berkesan dan manfaatnya benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mahfuz, kerajaan perlu mengimbangi pelbagai keperluan masyarakat dalam keadaan sumber kewangan negara yang terbatas, termasuk tuntutan pekerja terhadap pendapatan lebih baik, bantuan kepada golongan berpendapatan rendah serta keperluan petani dan pesawah untuk mengurangkan kos pengeluaran.

Katanya, keutamaan perbelanjaan perlu ditentukan secara bijaksana supaya golongan yang benar-benar memerlukan tidak terpinggir, manakala setiap projek pembangunan memberikan pulangan yang setimpal kepada rakyat.

Dalam sektor pertanian, beliau berkata, keberkesanan peruntukan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah bantuan kepada pesawah semata-mata, sebaliknya melalui pengurangan kos pengeluaran, jaminan bekalan air, peningkatan hasil padi dan pertambahan pendapatan bersih mereka.

Mahfuz turut mengingatkan kerajaan supaya mengambil iktibar daripada pengalaman lalu membabitkan Tabung Haji, Felda dan projek kapal tempur pesisir (LCS), khususnya berkaitan kepentingan ketelusan, kawalan kewangan, pemantauan serta akauntabiliti.

Menurutnya, pengalaman berkenaan tidak bermaksud setiap peruntukan baharu akan berdepan masalah sama, namun ia menjadi peringatan bahawa peruntukan besar tidak menjamin kejayaan tanpa pengurusan dan pengawasan yang berkesan.

“Wang awam bukan milik mana-mana pemimpin, kementerian atau syarikat. Wang awam ialah amanah yang mesti diurus demi kepentingan rakyat.

“Ibarat mengisi air ke dalam tangki yang bocor, sebanyak mana pun air dicurahkan, hasilnya tetap tidak memuaskan jika kebocoran tidak ditangani,” katanya.

Bagi memastikan Belanjawan MADANI 2027 mencapai matlamatnya, Mahfuz menggariskan lima keutamaan, iaitu ketelusan perbelanjaan, pembayaran projek berdasarkan kemajuan sebenar, audit dan pemantauan berterusan, tindakan tegas serta adil terhadap sebarang salah laku, dan pelaporan hasil pelaksanaan kepada rakyat.

Beliau berkata, maklumat berkaitan kos, kemajuan projek dan penggunaan peruntukan perlu dipantau mengikut peraturan yang berkuat kuasa, manakala pembayaran hendaklah disokong pengesahan kerja atau bekalan yang telah dilaksanakan selaras dengan kontrak.

Katanya, sebarang bukti salah guna kuasa atau penyelewengan juga perlu disiasat secara profesional tanpa pilih kasih serta dengan menghormati proses undang-undang.

Dalam masa sama, beliau menegaskan keberkesanan pengawasan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah laporan audit yang diterbitkan sahaja, tetapi turut mengambil kira tindakan pembetulan terhadap teguran, usaha mengelakkan kerugian dan tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Mahfuz berkata, sokongan terhadap dasar kerajaan yang membawa manfaat kepada rakyat perlu disertai pemantauan berterusan dan kesediaan menegur sebarang kelemahan.

“Rakyat tidak meminta kerajaan menjadi sempurna. Rakyat meminta wang mereka diurus dengan amanah, kesilapan diperbetulkan dan kesalahan tidak dilindungi.

“Kejayaan Belanjawan MADANI 2027 bukan ditentukan oleh kemeriahan pengumumannya, tetapi oleh perubahan yang dapat dirasai dalam kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berharap segala perancangan yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan supaya setiap ringgit yang diperuntukkan memberikan manfaat nyata kepada rakyat dan negara.

Related Posts

Individu hina Islam dan al-Quran di media sosial telah dikesan polis, MCMC

TANGGA BATU – Pihak berkuasa sedang mengesan seorang individu yang dipercayai menghina agama Islam menerusi hantaran media sosial berkaitan penggunaan satu perkataan ketika pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pendidikan Malaysia-Mesir perlu melangkaui pengajian Islam – PM

PUTRAJAYA – Kerjasama pendidikan Malaysia dan Mesir perlu diperluas melangkaui pengajian Islam dengan merangkumi bidang kejuruteraan, perubatan, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi digital serta kecerdasan buatan (AI). Perdana Menteri, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Individu hina Islam dan al-Quran di media sosial telah dikesan polis, MCMC

Individu hina Islam dan al-Quran di media sosial telah dikesan polis, MCMC

Pendidikan Malaysia-Mesir perlu melangkaui pengajian Islam – PM

Pendidikan Malaysia-Mesir perlu melangkaui pengajian Islam – PM

Perdagangan Malaysia-Mesir naik 74.7 peratus, kerjasama ekonomi diperluas

Perdagangan Malaysia-Mesir naik 74.7 peratus, kerjasama ekonomi diperluas

Belanjawan MADANI 2027: Kejayaan bergantung pelaksanaan beramanah – Mahfuz

Belanjawan MADANI 2027: Kejayaan bergantung pelaksanaan beramanah – Mahfuz

Netizen cabar PN bentangkan belanjawan alternatif

Netizen cabar PN bentangkan belanjawan alternatif

Sultan Ibrahim kurnia D.M.N. kepada Presiden Mesir

Sultan Ibrahim kurnia D.M.N. kepada Presiden Mesir