
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau akan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada jam 3.30 petang ini dengan aspirasi untuk menggapai di langit serta mengakar di bumi.
Beliau berkata, Belanjawan MADANI kelima itu akan meneruskan tekad kerajaan untuk memastikan kemajuan negara dapat dirasai oleh setiap lapisan rakyat.
“Insya-Allah petang ini saya akan membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, dengan aspirasi untuk menggapai di langit serta mengakar di bumi.
“Belanjawan MADANI kelima ini meneruskan tekad untuk memastikan kemajuan negara dirasai setiap rakyat, agar taraf kehidupan terus ditingkatkan, nasib mereka terbela dan setiap daripada kita dapat hidup secara bermaruah,” kongsinya di Facebook hari ini.
Pembentangan Belanjawan 2027 itu boleh diikuti secara langsung menerusi semua saluran televisyen dan platform digital utama pada jam 3.30 petang ini.
Belanjawan berkenaan dijangka menjadi tumpuan rakyat dalam menantikan hala tuju serta perancangan kerajaan bagi meneruskan pembangunan negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.






