
KUANTAN – Program Paya Besar Global Pulse: Russian Track hujung minggu lalu, menghimpunkan belia berusia antara 15 hingga 19 tahun dari kawasan Parlimen Paya Besar dan anak muda Rusia dalam satu platform perkongsian budaya dan pengalaman.
Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, program berkenaan berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan dua budaya berbeza melalui pengalaman dan persahabatan.
“Meskipun peserta datang daripada latar budaya, bahasa dan tradisi yang berbeza, ia memberi kelebihan kepada semua yang mengambil bahagian.
“Perbezaan inilah yang membuka ruang untuk kita belajar dan memahami antara satu sama lain.
“Sudah tentu program seperti ini menjadi jambatan menghubungkan dua budaya berbeza melalui pengalaman dan persahabatan,” katanya yang juga Timbalan Menteri Ekonomi.

Menurut beliau, program selama tiga hari itu memberi peluang kepada belia Malaysia khususnya dari Paya Besar mengenali Rusia bukan sekadar melalui sejarah atau media sosial, tetapi memahami cara negara itu melihat dunia serta bergerak dan berkomunikasi di peringkat global.
“Semoga tiga hari ini menjadi pengalaman yang membuka lebih banyak ruang untuk persahabatan, persefahaman dan kerjasama yang Insya-Allah berkekalan pada masa hadapan,” katanya.
Program berkenaan mampu menjadi platform awal bagi memperkukuh hubungan dua hala di peringkat akar umbi, khususnya dalam kalangan generasi muda kedua-dua negara.







