
KUALA LUMPUR – Peruntukan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) ditingkatkan kepada RM1.5 bilion untuk manfaat lebih 300,000 orang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar bantuan penjagaan OKU terlantar dan pesakit kronik ditingkatkan daripada RM500 kepada RM600 ringgit sebulan.
“Kepada komuniti orang kurang upaya, sukacita saya umumkan ambang pendapatan bagi melayakkan Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya ditingkatkan daripada RM1,700 kepada RM2,000.
“Elaun Murid Berkeperluan Pendidikan Khas ditingkatkan daripada RM150 kepada RM200 sebulan, untuk memanfaat 150,000 murid istimewa termasuk anak autistik.
“Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas ditingkatkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan, untuk memanfaat 20,000 guru pendidikan khas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju untuk membina dua buah Pusat Permata Kurnia iaitu di Melaka dan Pahang sebagai pusat khusus untuk anak-anak autistik diberi pendidikan, sokongan dan latihan.
“Lebih 130 kelas Tabika Tunas Istimewa baharu dibuka di kawasan desa seluruh negara bagi membolehkan anak autistik keluarga susah mendapat bimbingan awal lebih berkesan,” katanya.
Tidak hanya itu, sebanyak 15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dinaik taraf kepada Pusat Terapi Khusus untuk memanfaat 20,000 OKU ‘sindrom down’ berdaftar serta 3,000 penjaga OKU baharu dibekalkan kemahiran khusus bagi memenuhi keperluan perkhidmatan penjagaan OKU di seluruh negara.



