
KUALA LUMPUR – Bantuan tiket penerbangan FlySiswa MADANI 2027 ditingkatkan kepada RM500, ketimbang RM400 yang memanfaat lebih 60,000 penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Program Dapur Siswa MADANI pula akan diperluas ke politeknik dan institut pendidikan guru dengan peruntukan RM20 juta.
“Setiap mahasiswa mesti dijamin dengan penyediaan makanan. Maka, ikhtiar ini akan menyediakan peralatan memasak, sumbangan bahan makanan serta Menu Kasih Siswa hanya RM5.
“Potongan cukai akan diberikan kepada pihak yang menyumbang makanan dan peralatan bagi tujuan ini mulai 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, bagi menangani isu penginapan mahasiswa, kerajaan bekerjasama dengan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) untuk mempercepat pelaksanaan projek.
“Fasa 1 Residensi Mahasiswa Universiti Malaya (UM) dijadual siap pada 2031 yang akan memanfaatkan 10,000 mahasiswa UM.
“Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) akan melabur RM750 juta bagi projek vista kampus iaitu pembinaan kediaman siswa di enam universiti terpilih, termasuk UniSZA dan UiTM,” katanya.



