
KUALA LUMPUR – Kerajaan dan pihak Grab bersetuju untuk membiayai bersama satu pakej bernilai RM160 juta bertujuan untuk meningkatkan pendapatan bersih dan menambah baik kebajikan pekerja e-hailing dan p-hailing, bermula 2027.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketetapan itu diambil selepas Majlis Perundingan Gig sedang dalam peringkat rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial bagi pekerja gig, yang akan dimuktamadkan pada awal tahun hadapan.
Menurut beliau, pakej itu meliputi peningkatan kadar pendapatan minimum bagi pekerja e-hailing dan p-hailing, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans, serta caruman PERKESO.

“Ini bermakna, pendapatan bersih untuk pemandu e-hailing pada tahap median dijangka meningkat sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan.
“Selain itu, kerajaan bersetuju menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing. Insentif akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman untuk pekerja.
“Sebanyak 600,000 rakyat mencari rezeki sebagai pemandu e- hailing dan p-hailing. Kerajaan MADANI akan membela nasib pekerja gig dengan perlindungan yang lebih menyeluruh,” katanya ketika berucap pada Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.





