
KUCHING – Sarawak memperuntukkan RM42 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi pembangunan awal kampus utama Sarawak Tun Openg University of Technology (TAHOTECH) di Trombol, Kuching, dalam usaha memperkukuh pendidikan tinggi serta pembangunan bakat berkemahiran tinggi di negeri ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan itu merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk meningkatkan infrastruktur pendidikan tinggi, selain membangunkan ekosistem penyelidikan dan inovasi yang mampu menyokong keperluan ekonomi masa hadapan.
Menurutnya, pembangunan kampus berkenaan perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dalam melahirkan tenaga pakar tempatan, khususnya dalam bidang teknologi, kejuruteraan, aeroangkasa dan penyelidikan gunaan.
“Bagi menyokong pembangunan universiti ini, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM42 juta dalam Belanjawan Sarawak 2027 bagi pembangunan awal kampus utama TAHOTECH di Trombol, Kuching,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Selasa.
Abang Johari yang juga Canselor TAHOTECH berkata, perubahan status institusi berkenaan daripada i-CATS University College kepada universiti penuh perlu disertai peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan dan inovasi.
Katanya, universiti itu perlu memperkukuh keupayaan melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri, sejajar dengan aspirasi pembangunan Sarawak menerusi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
“Kecemerlangan sesebuah universiti bukan hanya diukur melalui bangunan dan kemudahan yang dimiliki, tetapi melalui kualiti graduan, kekuatan penyelidikan, integriti tadbir urus dan sumbangannya kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan penguasaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), automasi, semikonduktor dan analitik data bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia menghadapi perubahan ekonomi global.
Menurutnya, Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang pengaturcaraan, sains data, keselamatan siber, kejuruteraan dan teknologi pintar.
“Kita memerlukan lebih ramai anak Sarawak yang menguasai pengaturcaraan, sains data, keselamatan siber, kejuruteraan dan teknologi pintar,” katanya.
Abang Johari turut menggariskan kepentingan kerjasama antara TAHOTECH dengan Agensi Angkasa Sarawak (SSA), CENTEXS, institusi penyelidikan dan pemain industri bagi memperkukuh pembangunan kepakaran dalam sektor teknologi tinggi.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak juga memperuntukkan RM1.5 juta menerusi Belanjawan Sarawak 2027 bagi Kajian Pelan Induk Pembangunan Angkasa dan Aeroangkasa Sarawak, selain menyasarkan pelancaran nanosatelit pertama negeri berasaskan teknologi CubeSat menjelang 2030.
Dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak turut memperuntukkan RM200 juta bagi meneruskan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) pada 2027 yang dijangka memanfaatkan sehingga 10,600 pelajar.
Menurutnya, sebanyak 64 program pengajian ijazah sarjana muda di empat institusi pengajian tinggi milik Sarawak, termasuk TAHOTECH, dikenal pasti di bawah skim berkenaan.
“Bagi tahun 2027, kerajaan Sarawak telah memperuntukkan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan FTES, yang dijangka memanfaatkan sehingga 10,600 pelajar,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif pendidikan itu bertujuan memperluas akses pengajian tinggi kepada anak Sarawak yang layak tanpa membiarkan kemampuan kewangan keluarga menjadi penghalang utama.
Pada masa sama, beliau mengingatkan graduan supaya memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh untuk memberikan sumbangan bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negeri.
Majlis Konvokesyen Ke-28 TAHOTECH menyaksikan seramai 597 graduan diraikan dalam majlis yang turut menandakan perkembangan baharu institusi itu selepas memperoleh status universiti penuh.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)


