
KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, diminta menggerakkan segala sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, arahan memulakan siasatan sudah diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekiranya terdapat unsur kebocoran dokumen berkenaan.
Beliau berkata, Anwar sebelum ini turut menjelaskan rasional keputusan kerajaan menyahklasifikasikan minit mesyuarat berkenaan bagi membantu Peguam Negara menyediakan afidavit untuk kes semakan kehakiman yang difailkan Majlis Peguam Malaysia.
“Pertama, berhubung keputusan untuk menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan, yang dilakukan bagi membantu Peguam Negara menyediakan afidavit untuk kes semakan kehakiman yang difailkan oleh Majlis Peguam Malaysia di mahkamah.
“Kedua, Perdana Menteri meminta polis memulakan siasatan sekiranya wujud unsur kebocoran.
“Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohd Khalid Ismail, perlu menggerakkan segala sumber yang ada untuk mengesan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AISSE 27), di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar menafikan dakwaan kerajaan menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum.
Perdana Menteri turut menafikan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib itu diedarkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC).
Saifuddin berkata, dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan dan tidak lagi tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA).
“Sebaik kita menyahklasifikasikannya, ia bermakna dokumen itu menjadi dokumen awam.
“Apa pun, saya menyerahkan perkara ini kepada KPN,” katanya.



