
KOTA KINABALU – Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan lebih besar kepada peningkatan pendapatan rakyat, selain memastikan bantuan dan subsidi bersasar terus berfungsi sebagai jaringan keselamatan kepada golongan yang memerlukan.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Wong Sing Yun berkata, perkara paling penting ialah memastikan rakyat benar-benar merasai pengurangan tekanan kos sara hidup, bukan sekadar melalui bantuan jangka pendek, tetapi melalui peningkatan kuasa beli yang mampan.
Katanya, Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan kepada tiga perkara utama, iaitu memastikan harga keperluan asas seperti makanan, perumahan dan pengangkutan kekal terkawal, memperkukuh bantuan bersasar supaya golongan yang benar-benar memerlukan tidak tercicir serta meningkatkan pendapatan rakyat melalui pekerjaan yang lebih berkualiti, gaji yang lebih baik dan peluang peningkatan kemahiran.
“Bagi saya, ukuran kejayaan Belanjawan 2027 bukan hanya berapa banyak peruntukan yang diumumkan, tetapi berapa banyak ruang kewangan yang dapat dikembalikan kepada keluarga Malaysia setiap bulan,” katanya ketika dihubungi wartawan TMP, pada Rabu.
Menurutnya, bantuan perlu sampai kepada sasaran, namun pada masa sama punca tekanan kos sara hidup perlu ditangani supaya rakyat tidak terus bergantung kepada bantuan.
“Dalam erti lain, perkara paling penting ialah kita melihat isu kos sara hidup dalam perspektif jangka panjang dan mampan.
“Bantuan dan sokongan kepada golongan yang terpinggir sememangnya penting, namun manfaat kewangan yang diterima hari ini perlu diteruskan dalam bentuk pendapatan dan keupayaan ekonomi yang lebih kukuh pada masa hadapan,” ujarnya.
Bantuan penting, tetapi bukan penyelesaian jangka panjang
Dalam pada itu, subsidi bersasar dan bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA) penting sebagai jaringan keselamatan, khususnya bagi membantu golongan yang paling terkesan dengan tekanan kos sara hidup.
Bagaimanapun, beliau berkata, bantuan berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang.
“Dalam jangka panjang, kerajaan perlu memberi penekanan yang lebih besar kepada peningkatan pendapatan dan keupayaan ekonomi rakyat.
“Rakyat bukan sahaja perlu menerima bantuan ketika berdepan kesukaran, tetapi perlu mempunyai pekerjaan yang lebih baik, kemahiran yang relevan dan pendapatan yang mencukupi untuk berdikari.
“Bantuan kerajaan boleh menjadi jambatan untuk membantu rakyat melalui tempoh yang sukar, tetapi pada masa yang sama kita mesti membina kapasiti mereka supaya mereka boleh berdiri dengan lebih kukuh selepas itu,” kongsinya.
Menurutnya, pendekatan yang diperlukan bukan memilih antara subsidi atau peningkatan pendapatan kerana kedua-duanya mempunyai peranan masing-masing.
“Kedua-duanya diperlukan, tetapi matlamat akhirnya mestilah mengurangkan kebergantungan kepada bantuan melalui peningkatan pendapatan dan mobiliti ekonomi rakyat,” jelasnya..
Peningkatan gaji perlu seiring produktiviti
Selain itu, Belanjawan 2027 juga perlu memberi tumpuan lebih besar kepada peningkatan pendapatan rakyat ketika kos sara hidup terus meningkat.
Katanya, bantuan dan subsidi hanya dapat membantu dalam jangka pendek, sedangkan kos sara hidup merupakan cabaran yang berterusan.
“Kita perlu melihat bagaimana untuk meningkatkan produktiviti, kemahiran dan nilai pekerjaan, supaya pertumbuhan gaji dapat berlaku secara mampan tanpa menambahkan tekanan kepada kos perniagaan dan harga barang,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan boleh memainkan peranan melalui peningkatan kemahiran, pendidikan dan latihan yang lebih berkualiti, galakan kepada industri berproduktiviti tinggi serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan yang menawarkan gaji dan laluan kerjaya lebih baik.
“Bagi saya, matlamat akhirnya ialah supaya rakyat tidak perlu bergantung kepada bantuan kerajaan untuk menampung kehidupan mereka, tetapi mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan, membuat simpanan dan membina masa depan keluarga.
“Jadi, kalau bantuan adalah jaring keselamatan, peningkatan gaji dan peluang ekonomi ialah jalan untuk rakyat keluar daripada keadaan yang memerlukan jaring keselamatan itu,” katanya.
Pertumbuhan ekonomi perlu dirasai rakyat
Dalam pada itu, Sing Yun berkata, pertumbuhan ekonomi semata-mata tidak seharusnya menjadi ukuran tunggal kejayaan Belanjawan 2027.
“Pertumbuhan ekonomi itu penting, tetapi ia bukan matlamat akhir. Matlamat akhirnya ialah meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambahnya, sekiranya ekonomi berkembang tetapi gaji rakyat masih tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas dan kos sara hidup terus meningkat, kerajaan perlu melihat dengan lebih dekat bagaimana manfaat pertumbuhan tersebut sampai kepada rakyat.
“Belanjawan 2027 perlu memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada pekerjaan yang lebih berkualiti, gaji yang lebih baik, peningkatan produktiviti dan mobiliti ekonomi, khususnya bagi golongan berpendapatan rendah dan rentan.
“Saya tidak mengatakan bantuan seperti subsidi bersasar atau bantuan tunai tidak penting. Ia tetap diperlukan sebagai jaringan keselamatan.
“Dalam jangka panjang, kita mahu bergerak daripada membantu rakyat menampung kekurangan pendapatan kepada membantu mereka meningkatkan pendapatan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, ukuran kejayaan bukan sekadar melihat kepada saiz pertumbuhan ekonomi, tetapi sama ada pendapatan boleh guna rakyat meningkat dan kehidupan mereka menjadi lebih baik.
“Itulah yang akhirnya menentukan sama ada pertumbuhan ekonomi itu benar-benar inklusif dan bermakna,” katanya.
AI ubah struktur pasaran pekerjaan
Mengulas mengenai era kecerdasan buatan (AI), Sing Yun berkata, Belanjawan 2027 perlu melihat keperluan pekerjaan bukan sahaja berdasarkan pasaran semasa, tetapi turut mengambil kira perubahan struktur pasaran pekerjaan pada masa akan datang.
Katanya, penggunaan AI berpotensi menggantikan sebahagian tugas dan dalam keadaan tertentu, sebahagian pekerjaan yang dilakukan manusia pada masa ini.
“Jika perubahan ini berlaku lebih pantas daripada kemampuan pekerja untuk menyesuaikan diri, kita berdepan dengan risiko pengangguran struktur, apabila kemahiran yang dimiliki pekerja tidak lagi sepadan dengan keperluan pasaran,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau berharap, pendidikan, peningkatan kemahiran semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling) perlu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang dan bukan sekadar program untuk menangani pengangguran semasa.
“Kita perlu membina keupayaan rakyat untuk terus belajar, menyesuaikan diri dan berpindah kepada pekerjaan baharu apabila struktur ekonomi berubah,” kongsinya.
Pada masa sama, Sing Yun berkata, AI tidak seharusnya dilihat hanya sebagai ancaman kerana teknologi itu turut berpotensi mewujudkan pekerjaan, industri dan peluang ekonomi baharu yang mungkin belum wujud hari ini.
“Jadi, pada saya, persoalannya bukan sama ada kita boleh menghalang AI daripada mengubah pasaran pekerjaan kita tidak boleh.
“Persoalannya ialah sama ada rakyat kita cukup bersedia untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tersebut. Belanjawan 2027 perlu memastikan mereka mempunyai kemahiran dan peluang untuk berbuat demikian,” katanya.







