PRN Melaka: Buang ego ideologi, teladani diplomasi Hudaibiyah dalam rundingan – Tajuddin

KUALA LUMPUR – Parti-parti politik yang menolak sentimen perkauman dan agama disaran meneladani diplomasi serta fleksibiliti Perjanjian Hudaibiyah dengan bersedia ‘duduk semeja’ mengadakan rundingan kerusi bagi mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi berkata, kepemimpinan parti seperti Pakatan Harapan (PH), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dianjurkan untuk meletakkan strategi kemenangan jangka panjang melebihi ego politik demi mengelakkan perpecahan undi.

Beliau menjelaskan, Perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai Nabi Muhammad SAW meletakkan penanda aras tertinggi dalam sejarah diplomasi, di mana ketegasan prinsip diimbangi dengan ketersediaan bertolak ansur demi kelangsungan dan matlamat perjuangan yang lebih besar.

“Nabi Muhammad SAW mempunyai prinsip yang amat tinggi, tetapi dalam Perjanjian Hudaibiyah, Baginda sedia bertolak ansur demi keamanan serta strategi jangka panjang. Politik tahap tinggi tidak diuruskan dengan ego semata-mata.

“Mengapa parti yang memainkan isu perkauman dan agama boleh duduk satu meja, tetapi parti-parti yang mewakili semangat perpaduan enggan berbuat demikian? Jika masing-masing mahu bertanding secara solo semata-mata kerana idealisme, anda sebenarnya memberi laluan mudah kepada pihak lawan,” katanya dalam kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.

Mengulas lanjut strategi mendepani PRN Melaka, Tajuddin menegaskan bahawa kerjasama politik tidak menuntut sesebuah parti untuk ‘tidur satu katil’ atau mengorbankan prinsip perjuangan masing-masing.

Sebaliknya, apa yang kritikal di lapangan ialah pembentukan persefahaman taktikal bagi mengelakkan pertindihan calon di kerusi yang sama, yang akhirnya memecahkan undi penyokong.

“Pilihan raya ialah satu bentuk peperangan realistik. Cukuplah sekadar bekerjasama membahagikan kerusi supaya undi tidak berpecah. Selepas mencapai kemenangan, barulah dibincangkan pentadbiran mahupun manifesto bersama.

“Gaya berpolitik yang kaku dan enggan bertolak ansur langsung tidak praktikal. Kebijaksanaan mendepani realiti politik semasa amat diperlukan berbanding sekadar bersandarkan teori di atas kertas,” katanya.

Dalam pada itu, Tajuddin memberi pandangan bahawa tindakan menolak kerjasama dengan parti-parti veteran atau ‘dinosaur’ dalam PRN Melaka adalah satu percaturan yang tidak realistik memandangkan entiti berkenaan mempunyai jentera serta tapak sokongan akar umbi yang kukuh.

Beliau menegaskan, kegagalan parti-parti yang menjadi harapan rakyat untuk membentuk muafakat kerusi hanya akan menganiaya harapan pengundi yang mahukan perubahan.

“Sekiranya parti-parti ini tetap berdegil mahu bergerak bersendirian dalam PRN Melaka dan akhirnya tewas, kesilapan itu sepenuhnya berpunca daripada kelemahan strategi mereka sendiri, bukannya kekuatan pihak lawan,” tegas beliau.

Sementara itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi SPR mengumumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November, memberi tempoh berkempen secara rasmi selama 14 hari kepada semua parti yang bertanding.

Related Posts

Belanjawan 2027: Rakyat perlu pendapatan lebih kukuh, bukan sekadar bantuan

KOTA KINABALU – Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan lebih besar kepada peningkatan pendapatan rakyat, selain memastikan bantuan dan subsidi bersasar terus berfungsi sebagai jaringan keselamatan kepada golongan yang memerlukan. Pensyarah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
713 kandungan ‘deepfake’ pemimpin politik diturunkan sejak 2025 – Fahmi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 713 kandungan deepfake yang menyasarkan pemimpin parti politik telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang 1 Januari 2025 hingga…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Polis nafi anggota ditikam di Hutan Simpan Tasik Bera

Polis nafi anggota ditikam di Hutan Simpan Tasik Bera

Jeti darat ikan jadi ‘topeng’ seludup diesel, RM2.82 juta dirampas

Jeti darat ikan jadi ‘topeng’ seludup diesel, RM2.82 juta dirampas

PRN Melaka: Buang ego ideologi, teladani diplomasi Hudaibiyah dalam rundingan – Tajuddin

PRN Melaka: Buang ego ideologi, teladani diplomasi Hudaibiyah dalam rundingan – Tajuddin

Belanjawan 2027: Rakyat perlu pendapatan lebih kukuh, bukan sekadar bantuan

Belanjawan 2027: Rakyat perlu pendapatan lebih kukuh, bukan sekadar bantuan

‘Ibarat menang Piala Dunia’, Abdullah Saidol syukur Jambatan Batang Paloh siap

‘Ibarat menang Piala Dunia’, Abdullah Saidol syukur Jambatan Batang Paloh siap

AMK Miri mahu Belanjawan Sarawak 2027 fokus peluang pekerjaan, rumah mampu milik

AMK Miri mahu Belanjawan Sarawak 2027 fokus peluang pekerjaan, rumah mampu milik