
SIBU – Adat Iban perlu terus dipelihara, dikaji dan disesuaikan dengan perkembangan semasa tanpa menghilangkan nilai serta prinsip asalnya bagi memastikan warisan berkenaan kekal sebagai sebahagian daripada identiti masyarakat tersebut.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, usaha memelihara adat tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab satu institusi semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat daripada kerajaan, Majlis Adat Istiadat Sarawak (MAIS), ketua masyarakat, institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi keluarga.
“Pemeliharaan adat bukan tanggungjawab satu pihak sahaja. Ia bukan tanggungjawab MAIS, ketua masyarakat mahupun kerajaan semata-mata. Ia adalah tanggungjawab kita bersama,” ujarnya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Adat Iban 2026 di sebuah hotel, pada Khamis.
Menurut Uggah, MAIS memainkan peranan yang amat penting dalam memelihara, melindungi dan memartabatkan adat serta warisan masyarakat pribumi Sarawak, terutamanya melalui inisiatif pendokumentasian, penyelidikan dan penggubalan Adat Iban 1993.
Beliau menambah, sesi libat urus berkaitan penggubalan Adat Iban 1993 yang giat dilaksanakan sejak tahun 2021 perlu terus melibatkan semua pemegang taruh secara menyeluruh.

Jelasnya, ia merangkumi penglibatan Tuai Rumah, Penghulu, Pemanca, Temenggung, Pejabat Daerah dan Residen bagi memastikan setiap pandangan masyarakat akar umbi diambil kira sewajarnya.
Pada masa yang sama, katanya, kefahaman terhadap adat juga perlu diperkukuh dalam kalangan generasi muda supaya pengetahuan yang diwarisi daripada generasi terdahulu tidak hilang ditelan zaman.
“Adat bukan semata-mata bahan sejarah yang disimpan di dalam arkib. Adat akan terus hidup jika kita memahami dan memeliharanya.
“Langkah pendokumentasian dan penggunaan teknologi pada masa kini amat penting bagi memastikan pengetahuan berkaitan warisan ini dapat diakses dengan mudah oleh generasi akan datang,” tegasnya yang mahu melihat Adat Iban terus relevan dalam dunia moden yang dipengaruhi perkembangan teknologi.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Seri John Sikie Tayai; Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Mangil; dan Penasihat di Pejabat Premier Sarawak, Tan Sri William Mawan Ikom.
Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datuk Felicia Tan Ya Hua dan Ketua Majlis Adat Istiadat Sarawak, Datu Dr Neilson Ilan Mersat.






