
SANDAKAN – Pengguna Pelabuhan Sandakan menuntut penyelesaian konkrit dan segera terhadap kerosakan Mobile Harbour Crane (MHC) yang berlarutan, kerana gangguan operasi itu dikhuatiri menyebabkan kerugian kewangan kepada perniagaan dan menjejaskan ekonomi Sandakan.
Pengerusi Sandakan Forwarders Association (SFA), Chong Thien Ming berkata, Sabah Ports menerusi surat bertarikh 5 Oktober memaklumkan bahawa kerosakan MHC itu memerlukan kira-kira dua bulan untuk dibaiki.
“Dua unit MHC dari Tawau dijangka dihantar ke Sandakan pada penghujung Oktober bagi membantu operasi.
“Namun, persoalan segera ialah apa yang perlu dilakukan pengguna pelabuhan dari 5 Oktober hingga 30 Oktober?
“Perniagaan tidak boleh menghentikan operasi dan menunggu 25 hari lagi,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.
Chong yang juga Timbalan Pengerusi SLHTA turut mempersoalkan jaminan bahawa kedua-dua MHC dari Tawau itu akan tiba di Sandakan pada penghujung Oktober dan bersedia untuk digunakan.
“Pengguna pelabuhan memerlukan kepastian, bukan sekadar petunjuk bila peralatan itu mungkin tiba.
“Sabah Ports turut meminta kapal yang mempunyai kren sendiri untuk berlabuh di Pelabuhan Sandakan dan menjalankan kerja memuat serta memunggah sendiri.
“Perkara ini tidak boleh dianggap sebagai penyelesaian lengkap kerana tidak semua kapal mempunyai kren dan kren kapal tidak sepenuhnya mampu mengendalikan semua jenis serta jumlah operasi pemuatan dan pemunggahan kontena.
“Jadi, apa yang diharapkan daripada ejen perkapalan, ejen penghantaran, pengusaha pengangkutan dan komuniti perniagaan apabila kapal mereka tidak dapat bergantung kepada peralatan pelabuhan sendiri?” soalnya.

Menurut Chong pengguna pelabuhan tidak seharusnya menanggung kesan kewangan akibat kerosakan peralatan pelabuhan yang berpanjangan.
“Kelewatan kargo dan kapal, kontena yang tidak dapat dipindahkan, lori yang terpaksa menunggu atau kehilangan tempahan akibat kegagalan peralatan boleh menyebabkan kerugian kepada pengguna pelabuhan.
“Sabah Ports sebagai penyedia perkhidmatan pelabuhan mesti bertanggungjawab terhadap kesan yang timbul daripada kegagalan peralatan dan operasi.
“Pengguna pelabuhan tidak sepatutnya menanggung semua kos tambahan dan kerugian yang berpunca daripada masalah di luar kawalan mereka,” tegasnya.
Tambah Chong, keadaan itu turut menunjukkan kepentingan menyelesaikan isu peralatan pelabuhan yang telah dibangkitkan oleh ketiga-tiga persatuan sejak empat tahun lalu.
“Kami berulang kali meminta aset baharu. Kami telah membangkitkan keadaan MHC, container stacker, container trailer dan forklift. Namun, respons masih berkisar kepada jumlah TEU yang tidak mencukupi.
“Jika pelabuhan tidak mempunyai peralatan yang boleh dipercayai, bagaimana kita mahu meningkatkan jumlah TEU? Anda tidak boleh menjangkakan jumlah kargo meningkat apabila pengguna pelabuhan sentiasa bimbang sama ada peralatan tersedia untuk mengendalikan kargo mereka,” katanya.
Tambahnya lagi, sebahagian peralatan MHC telah digunakan lebih 20 tahun, manakala Pelabuhan Sandakan masih banyak bergantung kepada kren mudah alih berkenaan.
“Apakah komitmen jangka panjang terhadap Pelabuhan Sandakan sebagai pintu masuk ekonomi utama.
“Adakah matlamatnya hanya untuk beroperasi berdasarkan jumlah TEU sedia ada atau terdapat komitmen untuk membangunkan Pelabuhan Sandakan dan meningkatkan daya saingnya?
“Jika kita mahu lebih banyak laluan perkapalan, lebih banyak kargo dan aktiviti perniagaan, kita perlu menyediakan infrastruktur dan peralatan pelabuhan yang boleh dipercayai,” tegasnya.
Kongsi Chong, keadaan semasa boleh memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan, termasuk ejen perkapalan, ejen penghantaran, pengusaha pengangkutan, pengimport, pengeksport, pengilang, peniaga dan pengguna.
“Perniagaan boleh berdepan kos tambahan penyimpanan, pengangkutan, kapal dan kontena, manakala sesetengah syarikat mungkin terpaksa menangguhkan atau membatalkan tempahan kerana tidak mendapat kepastian mengenai pergerakan kargo.
“Dengan Krismas dan Tahun Baharu semakin hampir, ketidaktentuan itu amat membimbangkan komuniti perniagaan.
“Tahun lepas, perniagaan sudah mengalami kerugian besar apabila MHC rosak. Kita tidak boleh membiarkan perkara sama berlaku lagi tahun ini.
“Komuniti perniagaan perlu mengetahui sama ada Pelabuhan Sandakan mampu mengendalikan kargo mereka dengan baik sebelum membuat tempahan baharu. Jika tidak, mereka terpaksa menanggung risiko sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Chong menggesa Kerajaan Sabah campur tangan segera dan memudah cara penyelesaian konkrit antara Sabah Ports dengan semua pihak berkepentingan yang terjejas.
“Saya berharap, Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick menganjurkan sesi Town Hall melibatkan semua pengguna dan penyedia perkhidmatan pelabuhan, seperti sesi libat urus yang diadakan di Kota Kinabalu.
“Biarlah semua pihak duduk bersama dan membentangkan fakta, masalah, kos serta penyelesaian. Paling penting, kita memerlukan garis masa dan akauntabiliti yang jelas,” kongsinya.
Chong berkata, cadangan persatuan kekal sama iaitu Sabah Ports perlu melabur dalam aset pelabuhan baharu dan boleh dipercayai atau mempertimbangkan penswastaan perkhidmatan atau operasi tertentu bagi meningkatkan kecekapan dan akauntabiliti.
“Kita tidak boleh terus berada dalam kitaran sama iaitu kerosakan, pembaikan, menunggu dan ketidaktentuan.
“Pelabuhan Sandakan amat penting kepada ekonomi Sandakan dan pantai timur Sabah. Jika keadaan ini berterusan, kesannya bukan hanya kepada pelabuhan. Perniagaan mungkin mengurangkan operasi, menangguhkan pelaburan atau akhirnya ditutup.
“Kita memerlukan penyelesaian kekal, bukan satu lagi langkah sementara,” katanya.
Terdahulu, SFA, Sabah Shipping Agents Association dan Sandakan Lorr pada Khamis bagi membincangkan kerosakan terbaharu MHC dan kesannya terhadap operasi pelabuhan.








