
KUALA LUMPUR – Sebanyak 713 kandungan deepfake yang menyasarkan pemimpin parti politik telah diturunkan oleh penyedia perkhidmatan susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang 1 Januari 2025 hingga 15 September 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan berkenaan menunjukkan kandungan yang disyaki melanggar undang-undang atau garis panduan platform boleh dikenakan tindakan tanpa mengira kedudukan politik individu yang terbabit.
Beliau berkata tindakan itu dibuat berdasarkan aduan diterima, pelanggaran garis panduan komuniti penyedia perkhidmatan serta undang-undang tempatan.
“Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk deepfake, penipuan dan pemalsuan identiti, ditangani berdasarkan sifat serta elemen kesalahan dan bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau memudaratkan, MCMC boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam, bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai jumlah aduan dan tindakan terhadap kandungan deepfake membabitkan pemimpin parti politik sepanjang 2025 hingga 2026.
Afnan turut meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif berdasarkan kedudukan politik individu yang menjadi mangsa.
Menjelaskan perkara itu, Fahmi berkata, tindakan MCMC dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu terbabit.
“Sebagai contoh, Seksyen 233 Akta 588 menetapkan elemen perlakuan dan niat yang perlu dipenuhi sebelum sesuatu perbuatan boleh dianggap sebagai kesalahan.
“Pindaan kepada seksyen itu turut disertakan dengan huraian setiap elemen kandungan, termasuk apa yang dimaksudkan sebagai kandungan palsu, lucah, sumbang, mengancam dan jelik melampau,” katanya.
Mengenai tindakan pendakwaan, Fahmi berkata, rujukan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara untuk penilaian, manakala pendakwaan hanya dilaksanakan selepas mendapat izin bertulis daripada Pendakwa Raya.
Beliau berkata, kes yang didakwa pula tertakluk kepada proses perbicaraan di mahkamah, dengan tertuduh diberikan hak mengemukakan pembelaan sebelum keputusan dibuat.
“Kementerian juga mempunyai mekanisme semak dan imbang bagi memastikan MCMC bertindak secara adil dan bebas tanpa tekanan luaran.
“Pihak yang terkilan boleh membuat rayuan terhadap tindakan dan keputusan MCMC di Tribunal Rayuan yang diwujudkan bawah Akta 588 dan Akta 866, sebelum memohon semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi, jika tidak berpuas hati dengan keputusan Tribunal Rayuan,” katanya.
Fahmi berkata, mekanisme itu membantu memastikan tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan MCMC dilaksanakan berdasarkan undang-undang, fakta dan bukti serta tertakluk kepada proses semakan sewajarnya.






