
MIRI – Kerajaan Persekutuan digesa menyediakan pakej sokongan yang lebih menyeluruh kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak pada 8 September lalu.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, sokongan berterusan itu perlu merangkumi bantuan kewangan segera, penjagaan kebajikan serta jaringan perlindungan jangka panjang.
Menurutnya, ahli keluarga mangsa termasuk mendiang Alexson Adit Henry dan mendiang Jessie Paya Jok dari kawasan Parlimen Miri sebelum ini ada menyuarakan kebimbangan mengenai bantuan kewangan segera serta kejelasan berhubung pampasan yang layak diterima.
Beliau berkata, kebimbangan sama turut dibangkitkan oleh keluarga juruterbang, Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham.
“Saya secara peribadi telah berhubung dengan keluarga mangsa susulan tragedi ini, manakala pegawai saya bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Sarawak turut mengunjungi serta menyalurkan bantuan awal.
“Bantuan daripada individu, masyarakat atau pihak luar tidak seharusnya menggantikan tanggungjawab institusi terhadap waris anggota yang terkorban ketika melaksanakan misi perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Berikutan itu, Choon Man merangkap Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya telah mengemukakan surat rasmi kepada Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad supaya kementerian tersebut mempertimbangkan pendekatan yang lebih menyeluruh terhadap kebajikan semua keluarga mangsa.
Tegasnya, bayaran ex-gratia, pencen dan faedah perkhidmatan sedia ada yang sedang diuruskan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan tidak seharusnya dilihat sebagai keseluruhan bentuk tanggungjawab kerajaan terhadap waris mangsa.
Antara cadangan yang dikemukakan ialah pemberian bantuan kewangan khas segera serta elaun sara hidup sementara bagi keluarga yang kehilangan tempat bergantung sehingga faedah jangka panjang selesai diproses.
Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Kesihatan (KKM) mewujudkan mekanisme bantuan sehenti bagi mengelakkan keluarga mangsa daripada terpaksa berurusan dengan pelbagai jabatan secara berasingan untuk mendapatkan maklumat kelayakan faedah, jumlah bayaran dan status permohonan.
“Ini (mekanisme sehenti) akan memberikan kepastian dan lebih penting, menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa bersama-sama keluarga ketika mereka melalui tempoh yang amat sukar ini,” katanya.
Menyentuh soal perlindungan anggota FDS secara umum, beliau mendesak kerajaan agar menilai semula kerangka perlindungan sedia ada merangkumi perlindungan insurans, pampasan kematian dan hilang upaya, elaun risiko serta latihan kelangsungan hidup penerbangan memandangkan mereka bertugas di kawasan pedalaman berisiko tinggi.
Dalam pada itu, Choon Man turut menyambut baik pengumuman Kerajaan Sarawak berhubung penyaluran bantuan RM100,000 kepada setiap keluarga mangsa serta jaminan pendidikan untuk anak-anak mereka.
Bagaimanapun, tegasnya, bantuan daripada kerajaan negeri itu tidak seharusnya menjadi alasan yang menghalang kerajaan Persekutuan daripada menyalurkan sokongan tambahan yang sewajarnya.
“Kita mesti melakukan yang lebih baik untuk mereka kerana perkara ini mencerminkan bagaimana kerajaan menghargai pengorbanan mereka yang berkhidmat kepada rakyat,” tambahnya.






