
KELMARIN, rakyat Kedah khususnya peminat sukan permotoran dikejutkan dengan berita seorang pengarah syarikat ditahan bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pecah amanah berjumlah RM40 juta yang dikaitkan dengan projek Litar Lumba Antarabangsa Sungai Petani.
Menurut laporan, kes itu melibatkan urusan pembelian saham dan tanah yang dikatakan mempunyai kaitan dengan pembangunan litar tersebut.
Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan dan suspek masih belum diputuskan bersalah oleh mahkamah.
Ekoran dari kes pecah amanah itu maka terjawablah mengapa projek itu terbengkalai sehingga hari ini.
Namun persoalan yang lebih besar tetap perlu dijawab:
Apa sebenarnya yang berlaku kepada projek litar lumba yang pernah digambarkan sebagai kebanggaan baharu Kedah itu?
Projek yang sepatutnya menjadi kemudahan bertaraf antarabangsa untuk anak muda dan peminat motosikal kini terus dihimpit persoalan.
Pada Ogos 2022, kerajaan negeri mengumumkan projek itu akan dibangunkan semula, malah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menyatakan harapan supaya ia dapat disiapkan dalam tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
Tetapi enam bulan berlalu, tahun silih berganti. Litar yang dijanjikan masih menjadi tanda tanya.
Lebih menarik, apabila persoalan mengenai janji tersebut dibangkitkan, Sanusi pernah menjelaskan bahawa beliau hanya ‘tukang baca’ teks ketika pengumuman enam bulan itu dibuat.
Kenyataan tersebut pernah dilaporkan secara meluas dan mengundang persoalan orang ramai mengenai sejauh mana seorang Menteri Besar bertanggungjawab terhadap pengumuman projek yang dibuat atas nama kerajaan negeri.
Kalau benar sekadar membaca teks, rakyat berhak bertanya:
Siapa yang sebenarnya membuat keputusan? Siapa yang bertanggungjawab? Dan siapa yang perlu menjelaskan apabila janji itu tidak menjadi kenyataan?
Inilah persoalan asas dalam pentadbiran.
Rakyat bukan sekadar mahu mendengar pengumuman. Rakyat mahu melihat hasil.
Lebih-lebih lagi apabila projek ini bukan perkara kecil.
Nilai pembangunannya pernah dilaporkan mencecah puluhan juta ringgit.
Di fahamkan projek itu dikatakan di bina atas tanah milik Menteri Besar Incoporated (MBI) demi menjadikan sebuah bandar pemotoran di situ.
Pada 2022, kerajaan negeri sendiri menjelaskan bahawa peruntukan asal RM30 juta tidak mencukupi dan masih perlu mencari sumber pembiayaan tambahan.
Hari ini, projek yang sepatutnya menjadi simbol kemajuan sukan permotoran Kedah sekali lagi menjadi perhatian apabila muncul pula siasatan berkaitan dakwaan pecah amanah RM40 juta.
Kebetulan? Mungkin. Tetapi terlalu banyak persoalan untuk rakyat sekadar disuruh diam dan menunggu.
Apatah lagi Menteri Dalam Negeri sebelum ini dilaporkan berkata projek litar bernilai RM75 juta itu mungkin mempunyai unsur penyelewengan dan siasatan sedang dijalankan.
Justeru, penulis yakin rakyat Kedah berhak mendapatkan penjelasan yang terang.
Bukan sekadar kenyataan politik.
Bukan sekadar menyalahkan pihak lain.
Bukan sekadar mengatakan projek itu projek swasta apabila timbul masalah, tetapi mengaitkannya dengan kerajaan negeri apabila mahu mengumumkan kejayaan.
Jika benar kerajaan negeri mempunyai peranan dalam projek ini, jelaskan peranannya.
Jika projek itu sepenuhnya milik pihak swasta, jelaskan pula mengapa ia diumumkan dengan begitu besar sebagai projek yang akan membawa manfaat kepada rakyat Kedah.
Dan jika ada pihak yang melakukan kesalahan, biarlah pihak berkuasa menyiasat dan mahkamah menentukan kesalahannya.
Tetapi kerajaan negeri tetap mempunyai tanggungjawab moral untuk menjelaskan apa yang diketahui kepada rakyat.
Rakyat Kedah tidak meminta bulan dan bintang.
Rakyat cuma mahu tahu ke mana hala tuju projek yang sudah bertahun-tahun mereka tunggu.
Jangan sampai litar lumba Sungai Petani akhirnya hanya tinggal satu perkara:
Litar lumba atas kertas, janji atas pentas dan persoalan di kepala rakyat.
Sudah tiba masanya semua pihak berhenti bermain dengan persepsi.
Buka fail.
Bentangkan fakta.
Jelaskan kronologi.
Nyatakan siapa bertanggungjawab terhadap setiap keputusan.
Dan biarkan rakyat menilai sendiri rekod pentadbiran yang mereka lihat di depan mata.
Kerana dalam sebuah negeri yang mahu bergerak maju, rakyat tidak sepatutnya hanya mendengar “akan dibina”.
Rakyat mahu melihat ‘sudah dibina’.
Dan untuk litar lumba Sungai Petani, persoalan itu masih belum terjawab.
Akhir kata dari penulis maka lahirlah sebuah lagi projek mega halimunan yang paling banyak di Malaysia ini selepas Pas memerintah Kedah.







