
KUALA LUMPUR – Pembentukan sahsiah anak bermula di rumah dan memerlukan penglibatan berterusan ibu bapa, bukan hanya diserahkan kepada sekolah atau pihak lain.
Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Puan Rozana Zainal Abidin berkata, ibu bapa wajar bermuhasabah apabila berdepan masalah disiplin atau tingkah laku anak, selain menuding jari kepada sekolah, kementerian atau pihak lain.
“Bila sesuatu berlaku, kita jarang bertanya, ‘Apa salah aku dalam mendidik mereka?’ Semuanya bermula dari rumah. Dari rumah ke sekolah, kembali kepada komuniti dan akhirnya kepada negara,” katanya dalam satu sesi temu bual.

Menurut beliau, rumah ialah tempat nilai, kasih sayang dan asas kehidupan anak dibentuk sejak kecil. Didikan itu merangkumi adab, rasa hormat, amalan agama serta penampilan diri yang sopan.
Ibu bapa juga disaran mengambil tahu rutin dan pergaulan anak, termasuk siapa rakan mereka, sama ada kerja sekolah disiapkan serta barang yang dibawa pulang. Perkara kecil seperti memeriksa beg sekolah, katanya, boleh membuka ruang untuk mendidik anak tentang hak milik dan tanggungjawab.
Dalam penggunaan telefon bimbit pula, ibu bapa perlu memahami kandungan yang diakses anak serta keadaan mereka menggunakannya. Beliau mencadangkan penggunaan peranti dipantau dengan berhemah dan anak digalakkan berada di ruang bersama keluarga, bukannya sentiasa bersendirian di dalam bilik.
“Komunikasi dua hala perlu berlaku setiap hari. Tanya bagaimana hari mereka di sekolah, sama ada mereka selesa dengan kawan-kawan dan guru. Anak-anak hanya kira-kira lapan jam di sekolah; selebihnya bersama ibu bapa atau penjaga,” katanya.
Rozana turut menggalakkan keluarga meluangkan masa bersama, termasuk ketika makan. Meja makan, katanya, boleh menjadi ruang untuk berbual dan memberi peringatan kepada anak. Ibu bapa juga wajar mengurangkan penggunaan telefon ketika makan supaya dapat memberi perhatian kepada keluarga.
Beliau berkata, membimbing anak bukan bermaksud mengongkong mereka. Sebaliknya, ibu bapa perlu memberi ruang untuk anak berfikir, sambil menerangkan akibat daripada pilihan yang dibuat.
“Jangan sekadar berkata, ‘Dah besar, pandailah fikir sendiri.’ Anak perlu tahu kesan sesuatu perbuatan dan mempunyai bahu untuk bersandar apabila berdepan masalah,” katanya.
Hubungan baik antara ibu bapa dengan pihak sekolah juga penting. Jika guru melaporkan isu disiplin, ibu bapa disaran mendengar dan berbincang untuk mencari penyelesaian, bukannya terus menyalahkan guru.
Pada masa sama, ibu bapa perlu peka terhadap emosi anak dan menegur mereka dengan cara serta pada waktu yang sesuai. Tanggungjawab membesarkan anak juga perlu dipikul bersama oleh kedua-dua ibu bapa melalui pendekatan keibubapaan bersama.
Rozana turut mengingatkan keluarga supaya berhati-hati dengan maklumat di media sosial yang boleh tersebar pantas dan menjadi bahan sensasi. Ibu bapa disaran mengekalkan komunikasi dengan anak melalui panggilan telefon atau aplikasi pesanan, serta memastikan anak tahu mereka boleh menghubungi keluarga apabila memerlukan bantuan.
“Letakkan anak sebagai keutamaan dalam keluarga. Beritahu mereka bahawa kita sayang mereka. Dengan didikan dan perhatian yang baik, kita membantu membentuk insan yang berguna untuk masa depan Malaysia,” katanya.







