EMPAT tahun bukan tempoh yang mudah untuk mentadbir sebuah negara. Pelbagai cabaran, tekanan politik, serangan persepsi dan ketidaktentuan ekonomi datang silih berganti. Namun, di sebalik segala gelora, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengemudi Kerajaan MADANI dengan agenda reformasi dan pembangunan negara.
Hakikatnya, ada beberapa pencapaian yang wajar diberikan perhatian.
Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada tahun 2025, manakala pelaburan terus berkembang. Kadar pengangguran pula menurun kepada sekitar 3 peratus. Ini menunjukkan asas ekonomi negara terus bertahan dalam persekitaran global yang mencabar.
Dalam soal kebajikan rakyat, peruntukan STR dan SARA bagi 2026 mencecah RM15 bilion. Gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700, manakala penjawat awam menikmati pelarasan gaji melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Kita juga melihat usaha memperkukuh tadbir urus, mengurangkan defisit fiskal, memperluas Jualan Rahmah MADANI serta meneruskan projek pembangunan strategik seperti ECRL dan Lebuhraya Pan Borneo.
Namun, jangan pula kita menutup mata. Kos sara hidup masih menjadi keresahan, jurang pembangunan wilayah belum selesai dan rakyat masih menunggu hasil reformasi yang lebih menyeluruh.
Tetapi menilai kepimpinan bukan sekadar melihat berapa banyak kontroversi yang berlaku. Kita juga perlu melihat hala tuju, keberanian membuat keputusan dan kesungguhan membetulkan perkara yang sekian lama tertangguh.
PMX mungkin tidak sempurna. Kerajaan MADANI juga masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki. Tetapi kestabilan, kesinambungan dasar dan agenda reformasi tidak seharusnya dipandang ringan.
Di sebalik kemelut dan gelora, kepimpinan mesti kekal utuh.
Ya Allah, panjangkanlah umur dan berikanlah kekuatan serta kudrat kepada PMX untuk terus berkhidmat kepada negara.
Malaysia masih memerlukan kepimpinan yang berani membawa perubahan, memperjuangkan rakyat dan meletakkan masa depan negara sebagai keutamaan.
Malaysia perlukan insan yang mampu membawa negara ke hadapan.
*Suwadi Guliling ialah Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM)



